Sindiket pelaburan palsu 'Ah Kit' tumpas di Negeri Sembilan

Iklan
Seramai sembilan individu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan di sekitar Taman Bukit Kepayang, Seremban pada Ahad lalu.

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian membabitkan kumpulan 'Ah Kit' menerusi serbuan di sekitar Taman Bukit Kepayang, Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, seramai sembilan individu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 35 tahun, semuanya warganegara Malaysia telah ditahan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak awal Januari lalu menggunakan sebuah rumah sebagai pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti pelaburan tidak wujud melalui hebahan di aplikasi Tantan, Tinder, Telegram, dan Facebook.

"Kumpulan ini menyasarkan rakyat negara jiran sebagai mangsa selain menawarkan gaji sebanyak RM3,000 kepada pekerja pusat panggilan dan menjadikan kawasan perumahan berpagar sebagai hostel serta pejabat operasi.

Iklan

"Tugasan ahli sindiket ini adalah mendapatkan mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan yang kononnya wujud menggunakan nama-nama syarikat terkenal dalam pasaran," katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya, jumlah keuntungan tinggi ditawarkan bagi menarik perhatian mangsa menyertai pelaburan tersebut.

Iklan

"Bagaimanapun, setelah pelaburan dibuat, pelbagai alasan diberikan bagi mengelak bayaran keuntungan sehingga akhirnya mangsa tidak dapat menghubungi pihak sindiket.

"Walaupun sindiket ini tidak melibatkan rakyat di negara ini, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terperdaya dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu berusaha bersusah payah," katanya.

Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan telah direman selama empat hari sehingga hari ini.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan.

"Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 33 unit telefon bimbit, sembilan komputer riba, tujuh kereta, dan 14 buku nota skrip," tambahnya.