Penduduk AS digesa siap sedia hadapi penularan virus baharu - Pakar kesihatan

Iklan
Wabak ini semakin meluas khususnya di ladang-ladang ternakan lembu tenusu, melibatkan hampir 1,000 kelompok ternakan dan sekurang-kurangnya 70 kes jangkitan manusia yang disahkan. Agensi

WASHINGTON – Pakar kesihatan menggesa rakyat Amerika Syarikat (AS) agar segera membuat persiapan berikutan penularan pantas virus baharu yang kini telah dikesan di kesemua 50 negeri.

Virus selesema burung H5N1 yang sebelum ini hanya menjejaskan haiwan ternakan, kini mencetuskan kebimbangan apabila turut mengancam kesihatan manusia.

Iklan
Iklan

Menurut pakar daripada Rangkaian Virus Global (GVN), wabak ini semakin meluas khususnya di ladang-ladang ternakan lembu tenusu, melibatkan hampir 1,000 kelompok ternakan dan sekurang-kurangnya 70 kes jangkitan manusia yang disahkan.

Lebih membimbangkan, kes kematian pertama akibat jangkitan ini turut dilaporkan baru-baru ini.

Iklan

Walaupun tiada kes penularan antara manusia direkodkan setakat ini, para penyelidik memberi amaran bahawa mutasi virus boleh mengubah keadaan itu.

Mereka menjelaskan bahawa apabila dua jenis virus menjangkiti hos yang sama, pertukaran bahan genetik boleh berlaku, lalu mewujudkan strain baharu yang berpotensi menular dalam kalangan manusia.

Iklan

Sehubungan itu, GVN mendesak kerajaan-kerajaan seluruh dunia meningkatkan pemantauan dan memperketatkan langkah biosekuriti bagi membendung risiko jangkitan rentas spesies.

Pakar influenza terkenal, Dr. Peter Palese, menegaskan bahawa usaha perlu difokuskan pada penambahbaikan biosekuriti di ladang serta mendidik orang ramai mengenai cara pengendalian produk ayam yang selamat dan risiko bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti.

Seorang lagi pakar GVN, Dr. Ab Osterhaus, menyatakan pembangunan vaksin mungkin menjadi langkah penting dalam mengawal krisis ini.

"GVN menyeru supaya usaha segera dilaksanakan untuk memahami dan menghentikan penularan dalam kalangan lembu tenusu menerusi pengurusan kumpulan dan vaksinasi,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh pemantauan di sempadan haiwan-manusia, memandangkan usaha sedia ada masih tidak mencukupi.

Kematian pertama akibat H5N1 di AS dilaporkan pada Januari lalu, membabitkan seorang warga emas di Louisiana yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan bersentuhan dengan burung yang sakit.

Beberapa kes terbaru di Missouri dan California menimbulkan persoalan bagaimana mangsa dijangkiti, kerana mereka tidak diketahui mempunyai kontak langsung dengan haiwan sakit.

Setakat ini, ujian mandatori hanya dikenakan ke atas lembu yang dipindahkan antara negeri. Keadaan ini mengundang kritikan kerana dianggap sebagai"pandemik yang berlaku secara perlahan.”

Virus turut dikesan dalam babi, menjadikannya perantara berbahaya kerana spesies ini boleh dijangkiti virus selesema manusia dan burung, lalu berpotensi menjadi ‘kilang’ pencampuran virus baharu.

Lebih 400 haiwan liar bukan burung, termasuk musang merah dan anjing laut, turut dijangkiti — dipercayai selepas memakan bangkai burung yang sakit.

Pemantauan air kumbahan pula menunjukkan virus dikesan di 60 tapak daripada lebih 250 lokasi pemantauan di seluruh negara, dengan kadar positif melebihi 80 peratus di California dan Iowa.

AS kini mempunyai stok kira-kira 20 juta dos vaksin selesema burung yang sesuai untuk strain H5N1 dan berupaya menghasilkan 100 juta lagi dos jika diperlukan.

Ubat antivirus seperti oseltamivir (Tamiflu) tersedia dan digunakan bagi merawat pesakit yang dijangkiti strain semasa.

Usaha sedang dijalankan untuk membangunkan vaksin bagi haiwan ternakan dan menilai keberkesanan ubat antivirus terhadap lembu yang dijangkiti.

Pakar menegaskan bahawa tumpuan kini adalah untuk mencegah penularan selanjutnya dan memastikan negara bersedia menghadapi kemungkinan wabak berskala besar.-Agensi