Tingkatkan kesedaran ESG melalui hasil seni

Iklan
Pengasas Art Market Malaysia, Rita Hatta (kanan) dan salah seorang pelukis iaitu Khalidah Asri (dua dari kiri) bersama karya beliau yang bertajuk Contrast Between City and Nature yang menyertai pameran ini.

KUALA LUMPUR - Pameran seni bertemakan Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) yang berlangsung di KL Sentral menyaksikan lebih 100 karya seni kreatif dipamerkan.

Menurut Pengasas Art Market Malaysia, Rita Hatta, pameran itu bertujuan bagi mempromosi dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ESG melalui karya seni dan inovasi kreatif.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, pameran berkenaan menggabungkan usaha sektor kerajaan, usahawan sosial dan syarikat korporat dalam memacu kempen ESG ke peringkat lebih tinggi.

"Ia juga membuka peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi dengan karya seni sambil memahami peranan ESG dalam pembangunan Malaysia yang mampan,” katanya.

Iklan

Pameran tersebut bermula dari 18 April hingga 5 Mei 2025 dan dianjurkan oleh Art Market Malaysia dengan kerjasama Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) yang merupakan operator perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit. ERL sebagai rakan strategik yang menyediakan tapak pameran di Balai Ketibaan KLIA Ekspres di KL Sentral.

"Kita memilih KL Sentral kerana ia adalah hab pengangkutan utama di Malaysia, ideal untuk menarik perhatian masyarakat urban dan pelancong antarabangsa, sekaligus memperluaskan impak kempen ESG kepada khalayak umum,” jelas Rita lagi.

Iklan

Pameran seni berkonsep kelestarian

Pameran itu turut mengetengahkan pelbagai bentuk seni yang mengangkat nilai ESG hasil sentuhan lebih daripada 100 karyawan termasuk pelukis kurang upaya yang mempamerkan hasil karya mereka melalui pelbagai medium.

Rita memegang lukisan bertajuk When The Lands Stop Giving karya Salma Malihah.


Ujar Rira, seni visual berupa lukisan dan ilustrasi itu telah mengangkat isu kelestarian, perubahan iklim dan kesedaran sosial. Selain itu pameran ini juga mempamerkan kraftangan (produk buatan tangan berasaskan bahan lestari dan mesra alam), bahan buangan (karya seni yang dihasilkan menggunakan bahan kitar semula seperti plastik, kaca, kayu terpakai dan fabrik lama).

"Selain itu turut dipamerkan ialah seni arca berbentuk interaktif yang mencerminkan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

"Kempen ESG dari sektor korporat turut menyaksikan penyertaan syarikat-syarikat yang mempamerkan inisiatif ESG mereka melalui seni dan pameran interaktif,” katanya.

Antara karya lukisan OKU yang menyertai Pameran Seni Alam Sekitar, Sosial & Tatakelola (ESG) di KL Sentral, Kuala Lumpur.


Beliau berkata, pameran seni bertemakan ESG ini juga mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang menjadi rakan kolaborasi utama.

Ujar Rita, penglibatan NRES dalam pameran ini merupakan langkah proaktif bagi mendapatkan pelbagai input daripada para pengunjung yang melawat pameran berkenaan.

"Pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di bawah NRES menyertai pameran ini dengan konsep dan tema seperti Kempen Penghijauan Malaysia, Kempen Selamatkan Harimau Malaya, konservasi hidupan liar, publisiti produk eko-pelancongan, kempen gaya hidup lestari, kenali mineral dan galian yang terdapat di Malaysia.

"Proton Emas juga dipamerkan oleh Cahaya Teknologi yang merupakan Penaja Emas untuk program ini. Orang ramai dijemput hadir kerana tiada sebarang bayaran dikenakan bagi menyaksikan pameran ini. Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah disediakan untuk pengunjung yang bertuah,” tambah Rita.

Bagi salah seorang pembuat aksesori miniature, Ng Ee Pfen penyertaan beliau dalam pameran berkenaan mampu membuka mata orang ramai mengenai pentingnya mereka menyokong aktiviti seni yang melibatkan ESG.

Ee Pfen yang menghasilkan aksesori miniature atas jenama Little Lolli Store turut menyertai Pameran Seni Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola ini.


"Masyarakat dunia melihat ESG sebagai satu keperluan yang penting bagi kehidupan manusia yang lebih lestari. Saya amat menyokong pameran seumpama ini kerana sebagai pembuat aksesori miniatur, saya juga menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

"Kaedah ini mampu melindungi pencemaran alam dan dalam masa yang sama kita dapat menjimatkan pelbagai aspek kehidupan dan mengelakkan pembaziran penggunaan sumber tanpa kawalan,” ujar Ee Pfen yang menghasilkan aksesori miniature atas jenama Little Lolli Store.