Had laju 30km/j di kawasan sekolah, wajar atau tidak?

Iklan
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Nazreen, Muhammad Habib Akmal, Nor Syamira Liana, Mohd Fitri Faizi)

MUKADIMAH

Pada Selasa, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa kadar had laju maksimum di kawasan sekolah akan diturunkan daripada 50 kilometer sejam (km/j) kepada 30 km/j bagi meningkatkan keselamatan, khususnya melibatkan kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan dasar tersebut telah dibuat melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) dan akan digazetkan dalam tempoh terdekat.

Ujarnya, langkah pengurangan had kelajuan itu merupakan piawaian antarabangsa dan bukan perkara baharu.

Iklan

Meskipun keputusan dasar tersebut telah dibuat bagi melindungi keselamatan pengguna jalan raya termasuk kanakkanak di kawasan sekolah namun, ia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

SOKONG

Iklan

Sepatutnya sudah lama dilaksanakan

"Saya sokong langkah kerajaan turunkan had laju dekat kawasan sekolah daripada 50 turun ke 30 km/j.

Kerajaan sepatutnya sudah lama laksanakan sebab kawasan sekolah ini sibuk sama ada waktu pagi, hantar anak dan tengah hari, masa mereka balik dari sekolah.

Keadaan memang sesak. Kalau pemandu bawa laju, risiko berlaku kemalangan itu sangat tinggi.

Apa yang lebih membimbangkan, kita telah banyak kali mendengar berita mengenai kemalangan yang berlaku berhampiran sekolah.

Ada yang melibatkan pelajar, ibu bapa malah, ada yang meragut nyawa pengguna jalan raya lain. Ini sangat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Tragedi sebegini boleh dielakkan jika had laju diturunkan dan dipatuhi. Saya harap kementerian jangan buat separuh jalan.

Inisiatif ini perlu ada perancangan rapi dan garis panduan yang betul-betul jelas. Jangan nanti bila had laju dah diturunkan, kawasan depan sekolah pula jadi lubuk kesesakan.

Kerajaan mungkin boleh boleh buat laluan khas untuk ibu bapa dan tempat hentian sementara untuk bas sekolah.

Kena tengok semua aspek keselamatan pelajar adalah nombor satu, tapi kelancaran trafik pun jangan diabaikan."

- Pekerja swasta, Muhammad Nazreen Mohd Izahar, 30

Hukum pemandu cuai

"Bagi saya, langkah kerajaan itu adalah sesuai namun ia perlu dikuatkuasakan sepenuhnya.

Kita tidak mahu undang- undang ini hanya ‘senjata kertas’ yang tidak memberi kesan langsung di jalan raya.

Tanpa penguatkuasaan yang tegas, pemandu masih boleh melepasi had laju yang ditetapkan tanpa rasa takut akan dikenakan tindakan.

Oleh itu, selain mengurangkan had laju, penguatkuasaan yang konsisten dan pemeriksaan berkala di kawasan sekolah sangat penting.

Jika kita mahu ibu bapa berasa lebih selamat ketika menghantar atau mengambil anak mereka, kita perlu pastikan kawasan sekitar sekolah bebas daripada kesesakan trafik, bebas pemandu yang tergesa-gesa atau tidak mematuhi peraturan.

Ini bukan sahaja melibatkan had laju, tetapi juga penyusunan tempat letak kereta yang lebih sistematik, penyediaan tempat menunggu bas yang selamat, dan kawasan melintas yang jelas untuk pelajar.

Sekiranya kita berjaya menyediakan persekitaran yang lebih aman di sekitar sekolah, ibu bapa tidak akan lagi berasa risau tentang keselamatan anak-anak mereka ketika berada di luar rumah.

Mereka akan tahu bahawa pihak berkuasa dan masyarakat sama-sama bertanggungjawab memastikan anak- anak selamat, bukan hanya di dalam sekolah, tetapi juga di jalan raya.”

- Pegawai kanan syarikat swasta, Muhammad Habib Akmal Mohd Azizi, 27

...............

BANGKANG

Pasang kamera pemantauan had laju

"Terus terang saya rasa cadangan turunkan had laju kepada 30 km/j di semua kawasan sekolah ini patut dikaji dengan teliti. Saya faham dan sangat setuju keselamatan murid-murid itu penting kerana kita semua ada anak atau adik-beradik yang pergi ke sekolah setiap hari.

Memang kita hendak mereka selamat. Tapi apabila satu peraturan dikenakan sama rata untuk semua sekolah tanpa tengok keadaan sebenar di lokasi tu, saya rasa itu bukan cara yang paling praktikal.

Cuba kita fikir ada sekolah yang terletak di hujung taman perumahan, di jalan kecil yang memang kereta pun tak boleh laju. Ada juga sekolah yang jauh dari jalan utama.

Kalau had laju tetap diturunkan ke 30 km/j walaupun tempat itu tak berisiko tinggi, ia boleh menyebabkan masalah lain pula, seperti kesesakan atau gangguan trafik.

Saya rasa, kalau kerajaan benar-benar serius hendak pastikan keselamatan murid, lebih baik kita guna teknologi.

Pasang kamera pemantauan kelajuan, macam kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh kesan siapa yang bawa laju di kawasan sekolah dan ambil tindakan tegas.

Kalau pemandu tahu ada kamera, mereka akan lebih berhati-hati. Tidak semua tempat perlukan had 30 km/j, tapi semua tempat boleh dapat manfaat kalau pemantauan dibuat dengan cara moden dan berkesan.”

- Suri rumah, Nor Syamira Liana Nor Ashaha, 27

Lebih baik letak pengawal trafik, anggota Rela

"Pada saya, langkah kerajaan untuk menurunkan had laju maksimum di kawasan sekolah kepada 30 km/j adalah tidak praktikal.

Pelaksanaan itu perlu mengambil kira faktor waktu atau keadaan semasa. Sebenarnya kena ada masa tertentu. Waktu cuti sekolah bagaimana pula?

Biasanya waktu puncak iaitu sesi mula dan tamat sekolah, keadaan pasti sesak. Secara automatik orang akan pandu kenderaan secara perlahan.

Cuba bayangkan, saya lalu depan sekolah jam 11 pagi, sesi persekolahan sudah bermula dan pastinya pelajar semua berada di dalam sekolah.

Dalam keadaan jalan lengang, itu bukan saja leceh tapi juga mengganggu kelancaran trafik. Adakah ada sesiapa yang akan pantau kelajuan kenderaan?

Tanpa sistem seperti kamera pemantauan automatik (seperti AWAS atau CCTV), undang-undang ini sukar dikuatkuasakan dan berisiko menjadi sekadar papan tanda yang tidak diendahkan.

Kerajaan juga boleh tambah baik fasiliti di kawasan luar sekolah, seperti membina bonggol, lintasan pejalan kaki berbumbung, pagar keselamatan dan paparan digital yang menunjukkan kelajuan kenderaan secara langsung.

Bagi kawasan sekolah yang sibuk, saya cadang ditempatkan pengawal trafik sukarela atau anggota Rela untuk membantu pengurusan trafik dan keselamatan murid- murid.

Langkah-langkah ini jauh lebih berkesan dan boleh disesuaikan mengikut keperluan setiap kawasan sekolah.”

- Pekerja swasta, Mohd Fitri Faizi Mohd Akhiruddin, 41