SHAH ALAM - Sebanyak RM40 juta diperuntukkan melalui penubuhan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara bagi membantu kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula rumah mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tiga kategori bantuan telah ditetapkan berdasarkan tahap kerosakan rumah mangsa.
"Sebanyak 219 unit rumah telah terjejas dalam insiden kebakaran ini yang mana 81 unit mengalami kerosakan melebihi 40 peratus
"Sebanyak 138 unit rosak kurang daripada 40 peratus dan selebihnya kerosakan paling minimum,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Foyer, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di sini pada Rabu.
Beliau memberitahu, kerajaan telah menetapkan bagi rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula sepenuhnya dengan siling bantuan yang ditetapkan adalah sebanyak RM300,000 bagi setiap unit.
"Bagi rumah yang rosak melebihi 40 peratus tetapi masih boleh dibaik pulih tanpa perlu dibina semula, kerajaan menyediakan bantuan sehingga RM150,000 bagi setiap unit.
"Bagi kategori ketiga iaitu rumah yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus, bantuan baik pulih yang disediakan adalah sebanyak RM30,000 seunit," tambah beliau.
Kor Ming dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan pengecualian cukai kepada syarikat korporat atau (GLC) yang menyumbang kepada tabung itu selaras dengan prinsip kerjasama awam-swasta (PPP) yang menjadi tonggak dasar Malaysia Madani.
Tambah beliau, Sime Darby Property selaku pemaju utama di Taman Putra Harmoni akan membantu pembinaan semula rumah mangsa manakala kerja baik pulih akan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), khususnya di Kampung Kuala Sungai Baru.
"Kerja pembinaan dijadualkan bermula esok (Khamis) dan akan dimulakan dengan kediaman dalam radius 100 meter dari lokasi kejadian dengan tempoh maksimum siap ditetapkan selama 24 bulan mengikut Akta 118.
"Bagaimanapun, kita telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk mempercepatkan proses pemulihan," jelas beliau.
Menurutnya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak akibat kebakaran dan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM46 juta.
"Kita tidak mahu ada mana-mana keluarga yang terus hilang tempat berteduh dan ini adalah manifestasi komitmen kerajaan Madani untuk terus mengutamakan kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.