KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab acara perniagaan antarabangsa menerusi penganjuran Hari Persatuan MyCEB 2025 dan Majlis Induksi Kesatria Malaysia berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur pada Rabu.
Anjuran Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), acara ini menghimpunkan tokoh-tokoh persatuan industri yang berperanan penting dalam membawa masuk persidangan antarabangsa ke negara ini.
Malah acara yang dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan ini turut memperkukuh hubungan antara penggubal dasar dan pemain industri ke arah merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Khairul Firdaus menegaskan, acara perniagaan bukan sekadar perhimpunan sosial, sebaliknya menjadi pemacu ekonomi yang membawa pelaburan bernilai tinggi, pertukaran ilmu dan peningkatan reputasi negara.
"Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.9 peratus dan nilai perdagangan mencecah RM2.139 trilion dalam sembilan bulan pertama 2024, sektor acara perniagaan terus menjadi tonggak pertumbuhan masa depan,” ujarnya berucap pada majlis perasmian.
Satu daripada kemuncak acara ialah Majlis Induksi Kesatria Malaysia, satu program MyCEB yang melantik tokoh industri sebagai duta untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara global.
Sejak diperkenalkan, program ini telah menyumbang kepada penganjuran 98 acara perniagaan antarabangsa, menjana RM1.58 bilion impak ekonomi serta menarik 123,991 perwakilan ke Malaysia.
Pengerusi MyCEB, Sivakumar Varatharaju Naidu pula berkata, negara berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran nilai perdagangan RM2.5 trilion menjelang 2025, dengan acara perniagaan berperanan sebagai pemangkin utama inovasi dan pembangunan industri.
"MyCEB komited bekerjasama dengan semua pihak ke arah menjadikan Malaysia lima kuasa besar acara perniagaan Asia Pasifik menjelang 2030,” ujarnya.
Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing turut menegaskan persatuan berkenaan adalah tulang belakang industri ini.
Melalui Hari Persatuan MyCEB, MyCEB berusaha memperkasa kepimpinan persatuan dengan ilmu dan rangkaian yang diperlukan untuk membawa masuk acara berimpak tinggi ke Malaysia.
"Dedikasi para kesatria baharu ini akan mempercepatkan kejayaan ini dan memastikan kedudukan Malaysia terus unggul di pentas dunia,” tambahnya.