Bayi usia 13 bulan terjerut kain buaian di rumah pengasuh

Iklan
Puan Ding dan Yee Yen menunjukkan gambar laporan polis dan bayi lelakinya pada sidang akhbar di Pejabat Senator Dr Fuziah Salleh di sini, pada petang Selasa. Foto Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Zahari

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Ibu kepada tiga anak mahu keadilan buat bayi lelakinya berusia 13 bulan yang kini tidak sedarkan diri dipercayai terjerut kain buaian di rumah pengasuh di Lorong Mat Kilau, di sini, pada 15 April lalu.

Ibu bayi yang mahu dikenali Puan Ding, 37, berkata, dia dimaklumkan pengasuh yang berusia 50-an pada hari kejadian, bahawa anaknya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Iklan
Iklan

"Saya terkejut apabila diberitahu anak saya tidak sedarkan diri dan wajahnya kebiruan dipercayai akibat lehernya terjerut kain buaian.

"Dia dimasukkan ke unit kecemasan sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan dirawat selama lapan hari,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Senator Dr Fuziah Salleh di sini, pada petang Selasa.

Iklan

Turut hadir, Pegawai Khas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah, Koh Yee Yen.

Dakwanya, pengasuh memaklumkan anaknya diletakkan dalam buaian di tingkat atas kerana sukar tidur di katil, sementara pengasuh menguruskan hal lain di tingkat bawah.

Iklan

"Pengasuh maklumkan anak saya ditinggalkan bersendirian di atas. Kemudian suami pengasuh naik dan mendapati anak saya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai jurujual memberitahu, pihak hospital mengesahkan anaknya mengalami hipoksia otak dan kini masih memerlukan rawatan serta pemantauan berterusan.

"Dia masih belum pulih sepenuhnya. Kini ditempatkan di wad bersebelahan ICU dan menerima ubat-ubatan termasuk antibiotik.

"Doktor maklumkan anak saya perlukan tempoh pemulihan yang panjang termasuk terapi fizikal dan rawatan susulan berkala,” katanya.

Dia berkata, suaminya ada membuat laporan polis pada hari kejadian, namun menarik balik atas sebab tertentu, menyebabkan siasatan terhenti seketika.

Bagaimanapun, katanya, satu laporan baharu telah dibuat pada 25 April bagi membolehkan siasatan dijalankan semula bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kemungkinan berlakunya kecuaian daripada pengasuh.

"Saya harap ada keadilan buat anak saya. Saya juga kecewa kerana selepas laporan pertama ditarik balik, pihak pengasuh tidak lagi menunjukkan keprihatinan,” katanya.

Sementara itu, Yee Yen berkata, tindakan Puan Ding tampil bersuara bukan bertujuan menuding jari, sebaliknya demi menuntut keadilan.

"Dia hanya mahu pihak berwajib menyiasat. Jika terbukti ada unsur kecuaian, biarlah tindakan setimpal diambil agar tragedi sebegini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dijaga pengasuh terbabit sejak usia tiga bulan dan hanya diambil pulang oleh ibu bapanya setiap Sabtu.

"Pada awalnya, bapa mangsa tidak mahu tindakan lanjut diambil kerana menganggap kejadian itu sebagai kemalangan."Namun, isterinya tampil membuat laporan polis pada 25 April untuk menuntut siasatan lebih lanjut serta pampasan dan kos rawatan bagi anak mereka,” jelasnya.

Wan Mohd Zahari turut memaklumkan pihak polis telah merakam keterangan ibu mangsa dan melawat mangsa di HTAA.

"Rakaman percakapan daripada doktor yang merawat mangsa juga telah dilakukan oleh pegawai penyiasat kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," ujarnya.


'Kita telah panggil pengasuh dan rakam percakapan'- Polis

KUANTAN- Polis telah merakam keterangan seorang pengasuh bagi membantu siasatan berhubung kejadian membabitkan seorang bayi lelaki berusia 13 bulan yang tidak sedarkan diri selepas lehernya terjerut kain buaian di sebuah rumah di sini pada 15 April lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, namun beliau enggan mengulas lanjut.

"Kita telah panggil pengasuh dan rakam percakapan. Apa-apa saya akan maklumkan.

"Selain pengasuh, kita juga telah merakam keterangan beberapa individu lain termasuk doktor yang merawat mangsa dan pengadu,” katanya ringkas ketika dihubungi pada Rabu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan ibu kepada bayi tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Ding, 37, telah dimaklumkan oleh pengasuh bahawa anaknya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan pihak polis sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan.