BEKAS penyerang RB Leipzig, Christopher Nkunku dilaporkan telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Chelsea pada penghujung musim ini.
Nkunku, 27, dikatakan tidak berpuas hati dengan minit permainan terhad, situasi yang bertambah buruk akibat siri kecederaan yang membataskan sumbangannya di atas padang.
Pemain antarabangsa Perancis itu menyertai Chelsea pada 2023, namun bergelut untuk mencipta impak selepas mengalami kecederaan lutut yang serius, diikuti masalah hamstring.
Sejak kembali pulih, Nkunku hanya disenaraikan 14 kali dalam kesebelasan utama merangkumi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, Liga Konferensi Europa dan Piala Liga.
Setakat musim ini, Nkunku telah membuat 27 penampilan dengan jumlah masa permainan sekitar 910 minit.
Walaupun terhad, Nkunku tetap sempat menyumbang lima gol dan tiga bantuan jaringan dalam sembilan aksi Liga Konferensi Europa.
Ketika bersama RB Leipzig antara 2019 hingga 2023, Nkunku mempamerkan prestasi cemerlang dengan rekod 70 gol dan 55 bantuan jaringan dalam 172 perlawanan.
Dalam perkembangan lain, Bayern Munich dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Nkunku bagi memperkuatkan jentera serangan mereka sebagai sokongan kepada Harry Kane.
Bagaimanapun, perpindahan itu bergantung kepada penjualan Mathys Tel ke Tottenham Hotspur dengan nilai perpindahan dianggarkan sekitar €50 juta (RM260 juta).