BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan bahawa beliau bersedia untuk kembali memainkan peranan dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.
"Tengok Liverpool, tengok JDT (Johor Darul Ta’zim) sehari dua ini, teringat saya pada era The Red Warriors (TRW) Kelantan.
"Saya berpandangan sampai masanya sesuatu perlu dilakukan untuk melakar semula nama Kelantan dalam peta dan carta bola sepak Malaysia.
"Saya harap berpeluang duduk bersama KAFA, Kerajaan Negeri dan KDN FC (Kelantan Darul Naim FC) untuk berbincang sesuatu, merekayasa semula bola sepak Kelantan, Insya-ALLAH,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya.
TRW Kelantan ketika di bawah pengurusan Annuar sebelum ini muncul antara pasukan digeruni dalam arena bola sepak negara apabila mendominasi pelbagai kejuaraan sebelum kemunculan JDT pada 2013.
The Red Warriors menjuarai saingan Liga Super sebanyak dua kali iaitu pada 2011 dan 2012 serta Piala Malaysia pada 2010 dan 2012.
Sebagai rekod, JDT kendalian Hector Bidoglio melabuhkan tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025 dengan kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Pencapaian Harimau Selatan milik Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor itu meneruskan musim cemerlang kelab selatan tanah air tersebut yang merangkul kejuaraan liga teratas negara buat kali ke-11 berturut-turut.
Sementara itu, Liverpool pula dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ke-20 selepas membelasah Tottenham Hotspur 5-1 di Stadium Anfield, sekali gus meninggalkan pesaing terdekat, Arsenal.
KDN FC pula mengakhiri saingan Liga Super di tangga terakhir dalam kalangan 13 pasukan dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan 21 kekalahan selepas mengharungi 24 perlawanan.