KPM tidak kompromi isu buli, gangguan seksual atlet sukan sekolah - Fadhlina

Iklan
Fadhlina menyampaikan ucapan semasa hadir pada Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ke-56 2024, pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dalam sebarang isu buli dan gangguan seksual melibatkan atlet sukan sekolah, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ke-56 2024 di sini pada Selasa, beliau mahu semua pihak agar peka dan cakna dengan perlindungan yang perlu diberikan kepada atlet sukan sekolah selagi mereka di bawah payung kementerian itu.

Iklan
Iklan

"Kita tidak kompromi dalam soal buli dan juga gangguan seksual, mahupun yang berlaku dalam sukan (kerana) isu buli bukan sahaja berlaku di sekolah biasa.

"Kita akan sentiasa mengambil maklum dan tegas dengan siasatan (jika ada aduan) dan memastikan hak anak-anak ini dan pengadu diberikan hak sewajarnya berdasarkan siasatan tersebut,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Fadhlina turut menyampaikan 13 anugerah dalam majlis itu termasuk Anugerah Tunas Harapan (Putera dan Puteri), Anugerah Guru Berjasa (Lelaki dan Wanita) serta Anugerah Juara Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Majlis Sukan Sekolah Selangor juara MSSM, naib juara Majlis Sukan Sekolah Johor manakala Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan ketiga.

Iklan

Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO memberi penghormatan kepada atlet muda yang bukan sahaja menunjukkan kemahiran luar biasa dalam bidang sukan pilihan mereka, malah dedikasi tinggi terhadap kecemerlangan akademik. - Bernama