PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Agensi anti rasuah Asia Tenggara sepakat untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha mencegah dan membanteras rasuah menerusi pemeteraian Deklarasi Putrajaya.
Deklarasi yang disepakati oleh lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia Brunei, Laos, Myanmar, Singapura, Timur Leste dan Kemboja itu meletakkan tujuh keutamaan terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan agensi anti-rasuah sebagai tunjang kepada tadbir urus baik dan pembangunan mampan di rantau ini.
Ia dibacakan bersama oleh Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Ketua Komisi Pembanteras Korupsi (KPK) Indonesia, Setyo Budiyanto di Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara: Recalling Jakarta Statement di sini pada Selasa.
Antara yang dipersetujui dalam Deklarasi Putrajaya itu adalah sokongan padu terhadap penubuhan serta pengukuhan agensi anti-rasuah bebas di semua negara.
"Agensi bebas yang berkesan memainkan peranan penting dalam menjamin akauntabiliti dan keluhuran undang-undang,” katanya.
Deklarasi tersebut turut mengiktiraf kepentingan tindakan kolektif antara negara serantau untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan kejayaan dalam membanteras rasuah.
Kerjasama merentas sempadan termasuk perkongsian maklumat, teknik siasatan, mekanisme pemulihan aset serta strategi pencegahan turut digariskan sebagai elemen penting dalam usaha bersepadu itu.
"Perkongsian maklumat dengan sektor swasta dan pihak berkepentingan lain juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan siasatan dan pendakwaan,” jelas mereka.
Selain itu, agensi-agensi terlibat turut menyatakan sokongan terhadap penyelidikan dan pendidikan berkaitan integriti serta anti-rasuah yang dijalankan oleh institusi dalam dan luar negara.
Mereka mengalu-alukan pendekatan seperti yang dibangunkan oleh Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) bersama Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam menilai keberkesanan sesebuah agensi.
Menurut deklarasi itu, agensi-agensi anti-rasuah juga komited untuk mempromosi pelaksanaan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), khususnya Artikel 6 dan 36, dalam bidang kuasa masing-masing.
Turut diberi perhatian adalah prinsip-prinsip dalam Kenyataan Jakarta dan Ulasan Colombo yang menjadi rujukan dalam menilai keberkesanan dan kebebasan agensi pencegahan rasuah.
Deklarasi Putrajaya itu merupakan satu langkah signifikan yang mencerminkan iltizam bersama negara-negara Asia Tenggara dalam membina masa depan yang bebas daripada rasuah.
Ia turut menzahirkan kesediaan semua pihak untuk bekerjasama secara lebih aktif dalam membentuk budaya integriti melalui advokasi, penglibatan dan dialog yang konstruktif.