MELAKA - Polis Melaka berjaya mematahkan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud dalam talian yang mengenakan kadar faedah 2.88 peratus pada Isnin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan yang dilakukan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka di sebuah kediaman di Cheng Perdana pada jam 1 petang telah menahan dua wanita berusia 25 dan 33 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan itu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua wanita itu bertindak sebagai ejen khidmat pelanggan dan bertanggungjawab menelefon mangsa menerusi senarai diberikan oleh seorang individu tidak dikenali dengan bayaran gaji RM2,000 sebulan.
Katanya, mangsa yang bersetuju dengan tawaran pinjaman akan diarahkan untuk memasukkan wang sebanyak RM200 ke 'akaun keldai' sebagai bayaran perkhidmatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada dengan tawaran pinjaman wang diiklankan di media sosial serta membuat semakan nombor telefon supaya tidak terus menjadi mangsa sindiket seperti ini.