SANDAKAN – Tindakan seorang lelaki mengamuk dan mengancam keselamatan orang awam menggunakan sebilah parang membawa padah apabila dia ditahan polis di kawasan Bandar Indah di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan bersama parang sepanjang 70 sentimeter yang dibawanya.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Rajah berkata, tangkapan dilakukan selepas sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
"Menurut laporan, terdapat seorang lelaki disyaki mengamuk dan memiliki parang di kawasan tersebut.
"Dalam serbuan itu, lelaki tersebut berjaya ditahan dan parang yang dimiliknya dirampas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Barang-Barang Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
"Selain itu, suspek turut ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya.