Tiga individu termasuk pemilik, pemandu lori pasir ditahan ingkar arahan anggota JPJ

Iklan
Aidi Sham

Pemilik dan dua pemandu lori pasir enggan bawa kenderaan stesen timbang di Semenyih akhirnya bawa padah, apabila diberkas atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

PUTRAJAYA - Kedegilan tiga individu termasuk pemilik dan pemandu lori yang enggan mematuhi arahan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 9 April lalu mengundang padah apabila mereka diberkas atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada 15 dan 17 April lalu.

Iklan
Iklan

"Kes berkenaan berlaku apabila seorang pegawai JPJ membuat laporan polis pada 9 April lalu mendakwa dua pemandu lori pasir enggan mematuhi arahannya untuk membawa lori masing-masing ke stesen timbang di Semenyih, walaupun notis telah diberikan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Iklan

Katanya, ketiga-tiga suspek yang merupakan pemandu dan pemilik lori tersebut telah diberikan jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur.

"Kertas siasatan berhubung kes ini telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya.

Iklan

Sinar Harian pada Isnin melaporkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan ancaman tonto selain diugut oleh pemilik lori selepas dua kenderaan perdagangan itu ditahan atas kesalahan lebih muatan semasa operasi di Persiaran Perdana, Putrajaya, baru-baru ini.

Semasa ditahan, pemilik kenderaan perdagangan terbabit datang menaiki Toyota Vellfire bersama beberapa tonto dan membuat provokasi terhadap anggota bertugas.

Difahamkan, pemandu lori juga pada masa sama dikatakan telah mematikan Sistem Kedudukan Global (GPS) serta memancitkan tayar salah sebuah lori terbabit sehingga tidak boleh bergerak.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berikutan itu, anggota JPJ telah membuat tiga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkenaan kes menghalang tugas penjawat awam serta ‘tyre man’ yang datang untuk membaiki tayar lori selain kenderaan Toyota Vellfire yang dilarikan suspek.