GEORGE TOWN - Pulau Pinang berpotensi besar untuk diangkat sebagai taman teknologi serantau khususnya dalam bidang teknologi masa hadapan selari dengan peranannya sebagai hab utama industri semikonduktor negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Pulau Pinang sejak sekian lama telah dikenali di peringkat antarabangsa sebagai peneraju dalam sektor semikonduktor dan sudah tiba masanya untuk memperkukuhkan lagi kedudukan tersebut menerusi pengembangan ekosistem teknologi yang lebih menyeluruh.
"Apabila pelabur mahu datang ke Malaysia, khususnya ke Pulau Pinang, mereka akan melihat kepada ekosistem sedia ada. Mereka menilai infrastruktur, kesiapsiagaan kerajaan dan keupayaan negara mengadaptasi teknologi baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Hari Terbuka Malaysia Digital (MD) 2025 di sini pada Selasa.
Beliau berkata, dalam konteks perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah keupayaan untuk berkongsi data secara selamat dan tersusun.
"Kerajaan telah mengambil langkah awal dengan mewujudkan Akta Perkongsian Data yang kini telah dikuatkuasakan.
"Ini satu mekanisme penting bagi membolehkan teknologi seperti AI dapat dimanfaatkan secara optimum,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga memberi penekanan kepada penyediaan struktur dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan teknologi baharu, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan.
"Antara usaha terkini ialah pembukaan Pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pulau Pinang. Ini bagi memudahkan perbincangan dengan pemain industri dan menyelesaikan isu-isu setempat secara langsung.
"Kita mahu wujudkan satu ekosistem yang kondusif untuk pelaburan teknologi,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa langkah-langkah ini akan menarik lebih banyak syarikat teknologi global untuk melihat Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan yang strategik di rantau Asia Tenggara.
"Walaupun pusat data banyak tertumpu di Kuala Lumpur dan Johor, namun Pulau Pinang kekal sebagai nadi industri semikonduktor negara.
"Dengan perancangan rapi dan pembangunan ekosistem baharu, negeri ini mampu menjadi pusat teknologi masa depan,” katanya.
Tambah Gobind, Pulau Pinang kini bukan sahaja dilihat sebagai lokasi pengeluaran semikonduktor malah sebagai pemacu utama pembangunan teknologi generasi baharu serta ekosistem syarikat pemula yang semakin berkembang di utara tanah air.
Sementara itu, Gobind berkata, Pulau Pinang memberikan maklum balas positif terhadap usaha kerajaan Pusat untuk memastikan setiap negeri mempunyai undang-undang serupa dengan Akta Perkongsian Data 2024.
Gobind optimis menjelang akhir tahun ini, usaha untuk menggubal undang-undang yang seragam dengan Akta Perkongsian Data 2024 di semua negeri dapat direalisasikan.