PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mempunyai senarai individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan tanah yang dijadikan kebun durian di Raub, Pahang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, senarai itu turut meliputi pegawai kerajaan yang telah pencen.
"Kita menyiasat kes berkenaan dengan teliti dan bukan sahaja melihat kepada isu tatakelola tetapi mahu merungkai bagaimana selama ini pihak berkenaan boleh terlepas meneroka tanah kerana perlu diingatkan sejak 2021 SPRM telah siasat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Anti-Rasuah Asia Tenggara: Mengimbas Kembali Penyata Jakarta 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
Tambah Azam, bagi kes kali tersebut, separuh daripada peneroka terbabit mendakwa mereka telah melakukan kerja penerokaan sejak 1974.
Menurutnya, ia bermaksud bahawa terdapat kemungkinan bahawa berlaku aktiviti penerokaan yang baru di kawasan tersebut.
"Jika penerokaan itu dilakukan sejak 1974, mungkin usia pokok di tanah berkenaan lebih kurang 50 tahun.
"Tetapi terdapat juga pokok yang berusia lapan atau sembilan tahun, ini penerokaan yang lain," katanya.
Jelas beliau, kerajaan negeri telah mengambil kira semua perkara tersebut dan pihak-pihak yang bertanggungjawab akan dipanggil bagi tujuan siasatan.
"Kalau kes itu lebih kurang 10 tahun lepas, sudah tentu pegawai terlibat sudah pencen.
"Jadi menjadi cabaran kepada pegawai penyiasat saya untuk membuat siasatan latar belakang siapa bertugas. Ini mungkin masa sedikit," katanya.