SEPANG - Selepas puluhan tahun berbakti sebagai pendidik, pasangan pesara guru dari Jitra, Kedah, Abdullah Sani Long dan Latifah Harun akhirnya menerima anugerah yang paling mereka impikan iaitu peluang menunaikan haji di Tanah Suci.
Tahun ini menjadi lebih bermakna buat mereka, bukan sahaja kerana menunaikan rukun Islam kelima buat pertama kali, tetapi juga kerana mereka termasuk dalam kumpulan 284 jemaah terawal berangkat bagi musim haji kali ini.
"Saya gembira kerana dapat menunaikan haji dan ini merupakan kali yang pertama. Kebetulan juga saya pencen pada tahun ini," luah Abdullah ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Selasa.
Abdullah Sani, yang sebelum ini berkhidmat sebagai guru kerajaan, berkongsi kisah bagaimana sepanjang perkhidmatannya, beliau dan isteri sentiasa menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah.
Isterinya, Latifah, turut merupakan seorang guru, dan bersama-sama mereka membina kehidupan yang sederhana, mendidik anak-anak bangsa dan membesarkan keluarga mereka di Jitra.
Kini, setelah bertahun-tahun berbakti kepada masyarakat, doa mereka akhirnya termakbul.
"Sepanjang hidup kami, kami berusaha mendidik dengan penuh keikhlasan. Alhamdulillah, selepas bersara, ALLAH hadiahkan kami peluang ini," kata Latifah.
Pasangan ini mempunyai lima orang anak yang kini turut berkongsi kegembiraan dan mendoakan kesejahteraan mereka sepanjang menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Mereka percaya perjalanan ini bukan sekadar memenuhi kewajipan, tetapi juga sebagai tanda syukur atas segala rezeki yang ALLAH limpahkan sepanjang hayat mereka.