LAHAD DATU - Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran ketika melalukan pemantauan di perairan Alice Reef, Tungku, di sini, baru-baru ini.
Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.29 petang itu, sebuah bot laju dikesan dalam keadaan mencurigakan bersama dua individu.
"Bot berkenaan bergerak laju di kawasan perairan sebelum dipintas oleh bot ronda PPM untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan menemui sejumlah minyak masak peket dianggarkan bernilai RM63,365, dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran," katanya dalam kenyataan pada Selasa
Menurutnya lagi, semua barangan termasuk bot dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM untuk tindakan lanjut.
"Dua lelaki, iaitu juragan dan penumpang bot terbabit turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.