PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Keputusan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap ketetapan Mahkamah Rayuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum, akan diketahui pada Isnin.
Perkara itu akan diputuskan panel tiga hakim, dipengerusikan Hakin Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Pada 24 Mac lalu, Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mengemukakan hujahan untuk mendapatkan kebenaran rayuan itu, selepas Mahkamah Rayuan di sini mengembalikan kes Najib, 72, mengenai dakwaan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.
Bagaimanapun peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang hadir bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghujahkan bahawa, permohonan kebenaran merayu wajar ditolak kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan kini akademik kerana Mahkamah Rayuan sudah memutuskan wujudnya Titah Adendum terbabit.
Beliau berkata, Najib bukan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan kerana tahanan rumah bukan diputuskan oleh lembaga berkenaan, sebaliknya titah Yang di-Pertuan Agong.
Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran itu.
Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.
Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan kewujudan dokumen tambahan itu.
Sebelum ini, bekas Presiden UMNO itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Agong ke-16.
Najib yang juga bekas pemimpin UMNO itu mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.
Sebelum ini, Najib meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, pada 2 Februari 2024 lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.