Dodol tepi jalan ke pasaran digital

Iklan
Shahrin Azhar menunjukkan produk dodol keluaran Ani Food Legacy yang turut mendapat permintaan di Brunei dan Singapura.

SABAK BERNAM - Tatkala ramai dalam kalangan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ‘angkat bendera putih’ ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suatu ketika dahulu, seorang anak muda dari Tali Air 7, Sungai Leman di sini tampil berani menjadikan pandemik sebagai batu loncatan untuk mengembangkan perniagaan.

Shahrin Azhar Rasidi, 33, sama sekali tidak menganggap pandemik Covid-19 sebagai penamatnya dalam perniagaan, sebaliknya bangkit mencipta ruang baharu menerusi strategi digital untuk memasarkan dodol, wajik dan sagun tradisional yang sebelum ini hanya dijual secara bersemuka.

Iklan
Iklan

Shahrin Azhar

"Sebelum PKP, kami sangat bergantung kepada pelancong yang singgah di gerai tepi jalan tetapi apabila pandemik melanda, hasil jualan jatuh mendadak.

Iklan

"Tahun 2020 kami nekad mula berniaga di platform e-dagang dan buat siaran langsung (live) untuk promosikan produk kami. Alhamdulillah, setahun selepas itu jualan saya terus meningkat dua kali ganda,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, dia bukan sahaja mewarisi resipi, malah semangat ibu tercinta yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari dapur rumah sejak 1999.

Iklan

Shahrin Azhar kemudiannya mengambil alih sepenuhnya pengurusan syarikat Ani Food Legacy pada 2016.

Kongsi bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi, sejak kecil dia sudah terbiasa dengan bau manisan yang dimasak di dapur kayu, sebelum menyedari potensi besar makanan tradisional itu semasa menuntut di universiti.

"Visi saya jelas, bukan sekadar nak buat untung tetapi saya nak makanan tradisional ini terus hidup, dikenali dan dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Pelbagai jenis dodol

Kini, perniagaan yang diusahakan tanpa mengenal penat lelah itu mampu menghasilkan pelbagai jenis dodol termasuk dodol durian, dodol pulut hitam kacang merah, dodol kurma, dodol pandan, dodol labu, dodol jagung dan dodol nanas.

Shahrin Azhar kini boleh berbangga dengan pelbagai jenis dodol yang dikeluarkan oleh syarikatnya termasuk dodol durian, dodol pulut hitam kacang merah, dodol kurma, dodol pandan, dodol labu, dodol jagung dan dodol nanas.

Malah, Shahrin Azhar berkata, dia turut menghasilkan wajik istimewa dan sagun berasaskan kelapa yang digemari ramai.

Menurutnya, pasaran Ani Food Legacy semakin berkembang luas apabila turut menerima tempahan dari Brunei dan Singapura terutama untuk majlis kenduri serta acara rasmi.

Tambahnya lagi, produk makanan tradisionalnya itu turut dijadikan buah tangan.

Lebih membanggakan, kejayaan menembusi pasaran digital membolehkan mereka menambah lapan kakitangan baharu terdiri daripada penduduk kampung sekitar.

"Ia bukti jelas syarikat bukan sahaja berkembang tetapi pada masa sama turut membantu komuniti setempat,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Shahrin Azhar berkongsi perancangan membuka cawangan kedua di Ayer Hitam, Johor bagi memenuhi permintaan dari selatan tanah air.

Selain dodol, sagun berasaskan kelapa juga ada peminat tersendiri.

Malah, dia tanpa ragu-ragu turut mengakui impiannya mahu membina sebuah muzium dodol.

"Muzium ini nanti boleh dibuka secara percuma untuk menjadi pusat informasi dan lawatan kepada generasi muda serta pelancong.

"Anak muda sekarang ramai kenal kek lapis dan mochi tetapi tak ramai tahu bagaimana dodol dibuat atau betapa rumit prosesnya.

"Saya mahu ubah persepsi itu kerana ini bukan sekadar bisnes tetapi satu tanggungjawab sosial,” katanya yang turut memiliki sijil halal untuk per-niagaannya itu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).