Negara luar sudah praktik had tempoh jawatan

Iklan
Abdul Aziz (baju Melayu biru) ketika ditemui dalam Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2025.

MUKADIMAH

Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun mendapat perhatian serius pelbagai pihak terutama ahli politik.

Iklan
Iklan

Tidak terkecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru semua pihak untuk tidak menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.

Ikuti temu bual bersama wartawan Sinar Harian, NORMAWATI ADNAN mengupas pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari yang turut dikenali sebagai seorang ahli akademik yang berani menyuarakan pandangan dalam isu perlembagaan serta undang-undang di Malaysia.

Iklan

Abdul Aziz

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Iklan

SINAR HARIAN: Apa pandangan Yang Berhormat (YB) mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun?

ABDUL AZIZ: Ia satu cadangan yang baik dan sebenarnya perkara itu telah pun dipraktikkan negara luar terutama yang mengamalkan dasar jawatan Presiden.

Bagi saya (ada had tempoh) lebih bersifat secara 'terus' yang membuatkan pentadbiran berjalan mudah dan lancar.

Dalam hal ini, penting ada satu mekanisme yang boleh dibuat untuk memasukkan cadangan tersebut kerana pastinya ada sekatan-sekatan tertentu yang mendasarinya. Sebagai contoh jika di peringkat negeri, jawatan Menteri Besar sendiri ada sekatan yakni dia mestilah orang Melayu dan orang Islam.

Jadi kalau perkara sama boleh dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam konteks Perdana Menteri, saya rasa tidak menjadi masalah kerana paling penting, pelaksanaan perkara itu mendapat mandat rakyat.

Dahulu semasa pimpinan Pakatan Rakyat pun ada dibangkitkan perkara ini dan menariknya ketika itu, Pas juga setuju. Berbeza dengan keadaannya sekarang ini, mereka buat pusingan U (tidak setuju pula). Saya tidak tahu mengapa.

SINAR HARIAN: Pada pendapat YB, adakah perkara sama realistik dilaksanakan di peringkat negeri bagi kuasa jawatan Menteri Besar dan jawatan lain?

ABDUL AZIZ: Sama juga sebenarnya. Saya fikir boleh dilakukan dan tidak mustahil untuk dilakukan (pindaan). Tinggal lagi perkara yang harus difikirkan dan diambil kira juga adalah masalah kestabilan.

Menteri Besar sebagai contoh merupakan satu-satunya jawatan ketua pentadbiran yang ada sekatan iaitu Melayu dan Islam. Sekiranya seorang Menteri Besar itu menghadapi kesulitan untuk mendapatkan kestabilan dan mengekalkan kedudukannya, maka (tempoh jawatan) itu akan menjadi masalah pula.

Saya lihat selepas tahun 2008, banyak berlaku insiden dan kes di mana kerajaan tumbang, undi tidak percaya dan sebagainya. Bermaksud ada perkara yang mungkin tidak terduga berlaku.

Keadaan-keadaan ini juga harus diambil kira sebab yang pentingnya sistem politik itu mesti stabil serta kukuh, boleh menjaga ekonomi, mentadbirkan negeri dan negara.

Abdul Aziz (lima dari kiri) ketika meninjau aktiviti gotong-royong memasak dan mengedar bubur lambuk di Kampung Sri Kinta dalam DUN Tebing Tinggi.

SINAR HARIAN: Awal penubuhan Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri memberi jaminan untuk terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman negara. Bagaimana YB melihat pelaksanaan dasar itu setakat ini?

ABDUL AZIZ: Saya rasa tidak ada masalah saya dan kalau kita nak kita bandingkan dengan apa yang berlaku di zaman pentadbiran sebelum tahun 2000 iaitu selepas reformasi sebagai contoh, banyak berlaku cerita-cerita dan yang kita dengar yang memang secara langsung berlakunya campur tangan serta ugutan.

Saya fikir ketika itu ada juga berlaku situasi seperti kesediaan di pihak kehakiman untuk mengikut apa yang dikehendaki oleh eksekutif. Di sini yang harus kita ingat bahawa eksekutif mempunyai taktik dan cara, kalaupun dia tidak campur tangan secara langsung, dia boleh mempengaruhi atau kata lain mewujudkan suatu ketakutan dalam kalangan hakim-hakim. Bagi saya ia perkara yang telah pun berlaku.

Maklumlah manusia ini kadang-kadang sewaktu perkhidmatan, dia ada kesilapan dan keduanya mungkin dia banyak hutang dan ketiganya dia mungkin mengharapkan gelaran Tan Sri, Datuk, Tun dan sebagainya yang mana perkara-perkara itu, semuanya berada di tangan kerajaan yang memerintah dan badan eksekutif.

Jadi pada akhirnya benda berkenaan berlaku atau tidak, saya rasa bertimbal balik. Pihak kehakiman pun harus menunjukkan integriti dan kerajaan pun kena beri komitmen (kepada kebebasan). Kalau Perdana Menteri sahaja yang komited dan yang lain mungkin dari segi sikap boleh nampak kelainan, perkara itu mungkin agak sukar berlaku.

Pada masa ini yang saya nampak, tidak ada bukti ataupun tidak ada kita dengar insiden di mana Perdana Menteri secara langsung mencampuri bidang kehakiman.

Soal siasatan itu bukan bukan campur tangan, kita harus ingat soal memutuskan kes bukan soal menyiasat. Jadi kadang-kadang ada orang terkeliru nak membezakan antara kebebasan kehakiman dengan penyiasatan yang sebenarnya masih lagi berada di dalam konteks ataupun dalam ruang lingkup pentadbiran ataupun politik.

SINAR HARIAN: YB pernah menganggotai Exco Perak dan pernah dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Berdasarkan pengalaman itu, sejauh mana YB melihat trend miskin bandar dan apakah cadangan bagi menangani atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar kemiskinan bandar terutama di kawasan YB iaitu di DUN Tebing Tinggi?

ABDUL AZIZ: Pertamanya bergantung kepada dasar-dasar yang kita ada dan bagaimana kecekapan birokrasi melaksanakannya. Walaupun kita mempunyai wawasan politik dan sebagainya, tetapi pada akhirnya ia akan dilaksanakan oleh pihak birokrasi pentadbiran awam.

Kalau ini tidak berlaku ataupun ada sedikit sebanyak kesenjangan, saya rasa ia mungkin boleh mempengaruhi setakat mana keberkesanan program tersebut.

Perkara kedua perlu dilihat adalah soal data. Kebanyakan data yang ada menimbulkan kekeliruan. Dalam hal ini, jabatan statistik perlu memainkan peranan melalui Pangkalan Data Utama (Padu) bagi memastikan maklumat itu sentiasa dikemas kini.

Selain itu kita harus juga memusatkan ataupun sekurang-kurangnya ada rangkaian antara agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam isu ini seperti lembaga zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya dapat bergerak secara segerak.

Kita tidak mahu masing-masing jabatan dan agensi itu dengan agenda serta penekanan masing-masing sahaja. Itu juga akan mengakibatkan kurangnya keberkesanan kepada sebarang pelaksanaan menangani miskin bandar.

SINAR HARIAN: Soalan terakhir, apakah cabaran YB sepanjang dua penggal menjadi wakil rakyat?

ABDUL AZIZ: Sebagai ADUN kerajaan, kita kena bekerja dalam sistem dan saya rasa di peringkat apa pun masalah yang dihadapi tentulah berkaitan dana. Oleh kerana kita baru mewarisi penggal pertama, tidaklah boleh kita nak menjangkakan satu hasil atau perubahan yang drastik.

Di peringkat ini, kita masih cuba bayar hutang dan baiki sistem penyampaian yang sudah pasti memerlukan kerjasama termasuk daripada pembangkang sendiri.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Profil

Nama: Dr Abdul Aziz Bari

Usia: 66 tahun

Asal: Sabak Bernam, Selangor

Pendidikan:

• Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi MARA.

• Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

• Ijazah Sarjana (LLM) dari University of Nottingham.

• Ijazah Kedoktoran (PhD) dari University of Birmingham.

Kerjaya Akademik:

• Bekas Profesor Undang-Undang di UIAM (1989–2011).

• Pensyarah di Universiti Selangor (UNISEL).

• Pakar dalam bidang perlembagaan dan undang-undang.

Penglibatan Politik:

• Menyertai DAP pada Julai 2015.

• Dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP Perak pada Oktober 2018, memperoleh undi terbanyak dalam pemilihan tersebut.

Kerjaya Politik:

• Dipilih sebagai ADUN Tebing Tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (2018) dan mengekalkan kerusi tersebut dalam Pilihan Raya 2022.

• Dilantik sebagai Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan dalam kerajaan negeri Perak (2018–2020).

• Dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak pada Mei 2020.