Takdir memisah, doa bersatu

Iklan
Meskipun terpisah dek takdir, namun kasih sayang antara kedua-duanya tidak pernah padam. Foto EMPIRE

"SAYA percaya kalau kita dipisahkan oleh takdir dan masa, alam tahu macam mana untuk kembalikan semula...”

Lembut kata-kata itu terbit dari bibir pelakon versatil Nabila Huda Suhaimi, namun berat maknanya. Dalam diam, dia memikul kerinduan yang tak pernah benar-benar terluah hingga akhirnya, ruang temu raya menjadi saksi sebuah pertemuan yang menyentuh jiwa.

Iklan
Iklan

Menurut Nabila atau mesra disapa Abil, meskipun kisah antara dia dan ayahnya, penyanyi rock lagenda Amy Search, kembali menjadi bualan, perasaan sebenar tidak pernah benar-benar dibincang secara terbuka.

"Ini takdir. Saya percaya ini semua takdir. Saya pasti semua orang faham situasi. Cuma saya rasa macam rindu. Sukar untuk saya jelaskan,” katanya dalam nada yang tertahan.

Nabila memilih mencorak sendiri watak Maimon untuk Telaga Suriram. Foto EMPIRE

Iklan

Bagi Nabila, takdir dan masa telah menjarakkan dua jiwa yang sepatutnya paling dekat, namun ia tidak bermakna kasih antara mereka turut luntur.

Mengakui dirinya sudah lama menyimpan perasaan yang terpendam, ibu kepada seorang cahaya mata itu menyifatkan kisah antara dia dan ayahnya sebagai sebuah naratif yang tidak pernah menemui noktah.

Iklan

"Cerita ini tidak pernah habis dari saya kecil sehingga besar. Tetapi tidak guna untuk terus emosional, hidup perlu diteruskan. Saya ada kehidupan sendiri, semua ada kehidupan sendiri.

"Saya tidak pasrah tetapi setiap orang ada jalan hidup masing-masing. Jadi kita lalui dengan tenang tanpa perlu terlalu memikir. Kalau ada rezeki dan masa untuk bersama, kita akan bersama jua, ” katanya ketika ditemui pada malam gala Telaga Suriram di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nabila tidak pernah menjadikan kisah hidup sebagai rujukan dalam membentuk karakter lakonan. Foto EMPIRE

Ditebak adakah dia akan berusaha menjernihkan keadaan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan, Nabila memberitahu dia sudah penat melalui kisah yang berulang.

"Saya sudah penat. Tidak mengapalah saya hanya lalui sahaja apa yang ada depan mata. Perbaiki keadaan atau tidak, cerita ini memang tiada berkesudahan," luahnya.

Berkongsi pertemuan tidak terjangka dengan Amy baru-baru ini yang menjadi perhatian, pelakon yang bakal tampil dengan filem Gayong tidak lama lagi mengakui terkejut dan gemuruh dengan takdir tertulis buat mereka.

Dia percaya andai takdir memisahkan, alam pula tahu jalan untuk menemukan kembali.

"Sudah terlerai rindu walaupun jumpa sekejap. Dapatlah salam raya, minta maaf. Niat saya memang nak jumpa waktu raya, tetapi masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing.

"Papa pun cakap benda sama, saya beritahu dia, saya sayang dan rindu dia. Apa pun saya bersyukur ALLAH temukan kami," ungkapnya yang beberapa kali menyeka empang mata dari terus tumpah.

Dalam masa sama, figura berusia 40 tahun itu berkata, doanya tidak pernah berhenti mengiringi lelaki yang pertama mengajarnya erti kasih dan sayang.

Malah dia percaya, suatu hari nanti, mereka tetap akan kembali menyelusuri kehidupan bahagia bersama.

Barisan pelakon Telaga Suriram, bersama pengarah, Osman Ali. Foto EMPIRE

"Saya akan sentiasa doakan dia untuk dia bahagia. Macam mana dia doakan saya. Saya doakan dia semoga dia panjang umur. Semoga dia sentiasa sihat. Saya nak dia tahu yang saya sayang dia sangat.

"Saya cuma harap satu hari nanti kita akan bersamalah," katanya lagi.

Terdahulu, perkongsian Nabila mengenai pertemuan singkat dengan bapanya, telah mengundang simpati dan pertanyaan ramai.

Sebelum ini, Nabila pernah mendedahkan berdepan dengan konflik kekeluargaan sehingga merenggangkan hubungan anak dan bapa, namun kembali pulih tidak lama selepas itu.

Tanpa dialog

Sementara itu, menyentuh penglibatannya dalam filem Telaga Suriram arahan Osman Ali, Nabila mengakui ia bukan sekadar karya dramatik biasa.

Membariskan pelakon hebat seperti Maya Karin, Farid Kamil, Scha Alyahya dan Ellie Suriaty, filem ini menyatukan kekuatan emosi dan sinematografi yang sarat rasa.

Watak Maimon akan mengundang simpati mata yang melihat.

Dan untuk Nabila, wataknya sebagai Maimon adalah sebuah pengalaman yang bukan calang-calang.

"Lokasi melibatkan watak Maimon penuh kekotoran, duduk dalam sangkar. Pengalaman yang tidak pernah saya lalui. Karakter pertama tanpa dialog, hanya reaksi sahaja.

"Bagi saya ia sangat menarik kerana saya sendiri selepas selesai penggambaran, saya simpati dengan Maimon," ceritanya.