SHAH ALAM - Seorang pegawai polis berpangkat Superintenden direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) bernilai kira-kira RM15 juta.
Menurut sumber, perintah reman terhadap pegawai lelaki berusia 54 tahun itu bermula pada Sabtu selepas beliau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.
"Pegawai kanan tersebut dipercayai telah menerima bayaran rasuah daripada kontraktor dan subkontraktor yang terlibat dalam perolehan kontrak penyelenggaraan Sistem C4i.
"Tindakan penggeledahan turut dilakukan di pejabat serta kediamannya di Semenyih, Selangor bagi mengesan sebarang dokumen berkaitan penerimaan wang rasuah," katanya pada Sabtu.
Tambah sumber itu, siasatan lanjut turut membawa kepada pembekuan akaun berjumlah RM7.6 juta setakat ini, selain 15 rakaman percakapan telah diambil daripada saksi dan orang kena tahan (OKT).
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan bahawa seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis antara enam individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam tuntutan palsu berkaitan perolehan sistem berkenaan.
Kesemua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu.
Enam individu terbabit, termasuk seorang wanita, berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an, kemudian direman selama tujuh hari sehingga 30 April.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.
Sebahagian daripada kerja komponen bagi perkhidmatan sokongan dilaporkan tidak dilaksanakan seperti yang ditetapkan dalam kontrak.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).