Pas Sabah sah tanding PRN17

Iklan
Aliakbar

KOTA KINABALU - Pas Sabah mengesahkan akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang berlangsung tahun ini.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, parti itu akan turut serta dalam PRN kali ini, namun masih belum memutuskan rakan kerjasama dan logo yang akan digunakan.

Iklan
Iklan

"Cuma kita bekerjasama dengan siapa, dengan bendera (logo) apa, itu belum dipastikan lagi, tapi kita akan meletakkan calon, kita akan bertanding.

"Sama juga parti-parti yang lain, kadang-kadang walaupun dia daripada parti yang lain, tapi bila ada rakan gabungan, dia akan guna lambang gabungan, jadi kita sedang mencari dan meneliti rakan-rakan gabungan namun kita akan pastikan kali ini kita meletakkan calon," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sepanggar pada Sabtu.

Pas Sabah sebelum ini tidak meletakkan calon selepas memberi laluan kepada rakan gabungan dalam pilihan raya terdahulu.

Iklan

Katanya, walaupun tiada jumlah kerusi ditetapkan setakat ini, Pas Sabah memberi bayangan mungkin meletakkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.

"Kita tidak meletakkan sasaran yang tinggi tetapi kita tidak putuskan lagi berapa kerusi yang akan ditandingi, cuma kita akan bertanding.

"Boleh jadi (beliau akan bertanding). Saya rasa rakan wartawan pun boleh meneka kawasan itu dan di antaranya mungkin kita meletakkan calon di Karambunai itu antara sasaran kita," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Dilantik berpandangan tiada parti mampu membentuk kerajaan secara bersendirian selepas pilihan raya nanti.

"Saya berpandangan sama dengan rakan-rakan politik yang lain. Pasti tidak ada satu parti politik yang boleh berdiri sendiri.

"Saya lihat sekarang semua mencari rakan kerjasama ataupun gabungan bersama dan itu yang terbaik untuk Sabah.

"Sebab itu saya berpandangan dalam konteks Sabah ini, kita masih perlu berpadu dan bersatu. Kalau satu parti politik, kita mahu bangunkan Sabah agak sukar dan mungkin dia akan lebih banyak menimbulkan pertembungan, konflik perkelahian tetapi bila kita bergabung itu sebagai tanda kesatuan awal. Jadi sebelum membangunkan Sabah, baik kita adakan gabungan dulu," katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini hanya perbincangan tidak rasmi bersama parti lain telah diadakan.

"Cuma pertemuan rasmi dan dari segi pembahagian kerusi yang secara lebih tepat belum lagi ada.

"Kita masih lagi seperti mana parti lain. Masing-masing sedang mencari 'sarang' masing-masing. Jadi kita tidak ada lagi satu ketetapan," katanya.

Sebelum itu, bercakap mengenai majlis tersebut, Aliakbar memaklumkan kira-kira 4,000 tetamu hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka itu.