KUALA TERENGGANU - Seorang guru bukan sahaja kempunan merasa keenakan mangga harumanis, malah berputih mata selepas wang simpanan sebanyak RM9,998.52 lesap ditipu sindiket pembelian dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada Rabu lepas, mangsa iaitu seorang wanita berusia 46 tahun telah melihat iklan penjualan harumanis menerusi media sosial.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan itu telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan mangsa diminta memuat turun satu aplikasi bagi membuat tempahan buah berkenaan.
"Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui panggilan telefon menyebabkan telefon bimbitnya terpadam dengan tiba-tiba sebelum aktif semula beberapa minit selepas itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun, Azli berkata, pada keesokan hari mangsa mendapati wang simpanannya sebanyak RM9,998.51 dalam akaun Tabung Haji telah lesap.
Setelah disemak, mangsa mendapati berlaku dua transaksi wang dari akaun Tabung Haji ke akaun bank miliknya sebelum dipindahkan ke satu akaun bank lain yang tidak dikenali.
"Mangsa telah membuat laporan pada 6.35 pagi Khamis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama