LITAR Antarabangsa Kart Sepang menjadi saksi kemunculan Kejuaraan RCB MiniMoto, mengetengahkan bakat-bakat muda berusia enam hingga sembilan tahun yang buat julung kalinya menguji kemahiran di litar penuh sepanjang 1.243 kilometer.
Sebanyak 12 pelumba cilik terpilih daripada 35 peserta yang mendaftar secara dalam talian, hasil sesi pemilihan sengit yang diadakan pada 12 April lalu di lokasi yang sama, kini bersedia untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.
Perasmian kejuaraan yang mendapat pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) disempurnakan oleh Pengurus Komunikasi MKA Group, Norlina Ayob, bersama figura berpengalaman dari ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, yang bertindak sebagai pengurus kejuaraan.
Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran MKA Group, Marcus Leong, menzahirkan harapan agar kejohanan ini akan menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak acara pembangunan bakat muda di seluruh pelosok negara.
"RCB telah lama menyokong arena perlumbaan MiniGP melalui penyediaan alat ganti teknikal serta sokongan kewangan untuk program-program pembangunan pelumba seperti Qabil dan Hakim, sekaligus membantu membina kerjaya mereka,” ujar Leong.
"Untuk RCB MiniMoto pula, sokongan kami meliputi aspek teknikal dan bantuan kewangan bagi memastikan kelancaran program ini. Kami percaya ini adalah ekosistem pembangunan yang kukuh, bermula dari peringkat akar umbi seperti MiniMoto hingga ke MiniGP, dalam usaha mencungkil dan membimbing bakat muda yang berpotensi besar.
"Impian kami adalah untuk melihat pelumba yang lahir dari program ini suatu hari nanti mewakili Malaysia di pentas MotoGP,” tambahnya dengan penuh semangat.
INFO PERLUMBAAN
Pusingan pertama Kejuaraan RCB MiniMoto akan berlangsung di Litar Antarabangsa Kart Sepang pada 26 dan 27 April ini.