KUALA KRAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar konkrit simen di Jalan Kampung Pemberian ke Kampung Manjor, Laloh pada pagi Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat, siasatan awal mendapati mangsa berusia 21 tahun menunggang dari arah Kampung Pemberian menuju Kampung Laloh sebelum hilang kawalan di lokasi kejadian.
"Motosikal mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar konkrit simen. Mangsa tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y12ZR itu ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 7.50 pagi.
"Mayatnya dikeluarkan dengan bantuan waris dan polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.
"Kemalangan dipercayai tidak melibatkan kenderaan lain dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam pada itu, Mazlan turut menasihati pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal agar mematuhi had laju dan memakai topi keledar walaupun melalui jalan kampung.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi Inspektor Mohamad Amirul Izham Azlan di 09-9666222 atau hadir ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai.