KAJANG - Murid dan pelajar sekolah diminta memakai dahulu lencana Jalur Gemilang berpin yang telah diberikan secara percuma sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika ditemui selepas meninjau penyerahan slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (M) Kajang di sini pada Khamis.
"Kita sudah beri percuma (lencana Jalur Gemilang), secara yang berpin pakai dahulu,” katanya.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar murid mula dilaksanakan sejak Selasa selepas Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan ia akan dilaksana secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid serta warga pendidik.
Bagaimanapun, wujud rungutan daripada ibu bapa di media sosial yang menzahirkan rasa bimbang termasuk mempersoalkan tahap kualiti lencana yang dibekalkan.
Malah, terdapat segelintir ibu bapa yang mempersoalkan aspek keselamatan kerana murid terdedah dengan kecederaan sekiranya terpijak atau terduduk atas lencana pin itu sekiranya tercabut dan tercicir.
Selain itu, penggunaan pin itu juga dikatakan boleh merosakkan pakaian sekolah sekiranya besi pin itu berkarat.