SHAH ALAM - Mana-mana pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 disarankan untuk mempertimbangkan kerjaya sebagai akauntan bertauliah sebagai pilihan utama bagi menyambung pengajian masing-masing.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kerjaya dalam bidang perakaunan profesional hakikatnya menawarkan masa depan yang cerah dan stabil, malah tidak semestinya memerlukan seseorang pelajar memiliki latar belakang akademik dalam perakaunan sejak di sekolah.
"Saya sendiri daripada aliran Sains Tulen, tamat sahaja SPM saya sambung A-Levels juga dalam bidang sama.
"Saya sambung ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Tetapi habis sahaja universiti, saya kerja sebagai auditor dan akauntan bertauliah. Macam mana pula kan?
"Sebab kerjaya akauntan tidak memerlukan kita belajar subjek Akaun di sekolah atau universiti,” katanya di Facebook pada Khamis.
Tambah Rafizi, untuk menceburi kerjaya akauntan pelajar hanya perlu lulus peperiksaan dari institut perakaunan bertauliah seperti Institute of Chartered Accountans in England and Wales (ICAEW) dan The Association of Chartered Certified Accountans (ACCA).
Menurut beliau, industri kewangan dan perakaunan sangat mengutamakan kelayakan akauntan bertauliah daripada kedua-dua institut berkenaan.
"Yayasan Peneraju, sebuah agensi Bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi diamanahkan melahirkan profesional bumiputra.Salah satu fokus utama ialah menggandakan jumlah akauntan bertauliah Bumiputera.
"Sebab itu bermula 2025, jumlah pengambilan pelajar lepasan SPM untuk menjadi akauntan bertauliah ditingkatkan dari 500 orang setahun kepada 1,500 orang setahun, naik dua kali ganda.
"Pelajar yang berjaya akan diberi pembiayaan mengikut kesesuaian dan ditempatkan di kolej-kolej profesional seperti Sunway University, INTEC Shah Alam dan Tymba,” katanya lagi.
Rafizi turut berkata, jika pelajar lepasan SPM berminat untuk menceburi bidang pendidikan itu, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web rasmi Yayasan Peneraju iaitu https://peneraju.org.
Pelajar dan ibu juga boleh hadir ke sesi taklimat dan temuduga di bandar-bandar terpilih antaranya pada 27 April bertempat di Shah Alam (Auditorium MBSA), 10 Mei di Port Dickson, Ipoh, Kuantan dan Kuching, 11 Mei di Mukah, Betong, Muar dan Sungai Petani, 17 Mei di Kuala Terengganu, Sandakan dan Tawau serta 18 Mei di Tuaran.
"Antara keputusan terbaik saya pernah buat ialah menjadi akauntan bertauliah di bawah ICAEW. Saya harap lebih ramai yang memilih jalan ini,” katanya.