GUA MUSANG - Seorang lelaki Orang Asli maut selepas trak pikap yang dinaikinya terbabas ke dalam sungai dalam kejadian di kilometer 80, Jalan Gua Musang–Lojing, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 50 tahun dan duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan maut di lokasi kejadian akibat lemas dan tersepit dalam kenderaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, semasa kejadian kenderaan yang dipandu lelaki berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari arah Blue Valley menuju ke Gua Musang.
"Setiba di lokasi kejadian, trak pikap dipandu rakan mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas ke cerun dan terjunam ke dalam sungai akibat hujan lebat serta terdapat limpahan air yang melintasi jalan.
"Pemandu dan penumpang lain di bahagian belakang sempat terjun untuk menyelamatkan diri, namun mangsa yang duduk di tempat duduk hadapan tersepit dan gagal keluar, lalu lemas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Choon Foo memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau 012-4027283.