Ketatkan kawalan keselamatan di taska

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

SEMALAM akhbar ini melaporkan tiga lelaki bersenjatakan parang menceroboh sebuah taska di Sabak Bernam dan mengambil barang kemas milik guru.

Iklan
Iklan

Jika taska pun kena samun, ia fenomena yang memang sangat membimbangkan. Tempat yang sepatutnya selamat untuk kanak-kanak pun sudah jadi sasaran jenayah.

Penganalisis berpendapat, harga emas semakin meningkat mendorong penjenayah menyasarkan barang kemas yang dipakai kaum wanita di tempat awam pula.

Iklan

Mereka sasar rumah-rumah termasuk taska yang mereka anggap"mudah” atau tak banyak kawalan.

Pada masa sama, mungkin ada guru taska yang memakai barang kemas dan penjenayah telah lama memerhatikan rutin itu.

Iklan

Justeru pihak taska perlu melaksanakan langkah pencegahan untuk elak jadi mangsa samun (atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko) yang melibatkan gabungan aspek keselamatan fizikal, teknologi dan kesedaran staf.

Pertama, pastikan pagar dan semua pintu utama sentiasa berkunci dari dalam dan hanya dibuka oleh staf. Guna sistem interkom dan pintu dengan kawalan akses.

Pastikan juga kawasan luar taska terang pada waktu malam, termasuk pintu masuk dan tempat letak kenderaan

Kedua, pihak taska perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar taska terutamanya pintu masuk, bahagian belakang, stor dan kawasan letak kenderaan.

Pastikan ada kakitangan semak rakaman CCTV sekurang-kurangnya sekali sehari. Laporkan segera jika nampak orang atau kenderaan yang mencurigakan.

Staf juga perlu dilatih untuk bertindak jika berlaku samun atau kecemasan.

Ketiga, elakkan simpan banyak wang tunai di taska kerana ia juga boleh mengundang penjenayah.

Kerjasama komuniti amat diperlukan. Libatkan penduduk setempat atau Rukun Tetangga untuk ronda kawasan taska secara berkala.

Apa yang penting, staf dan ibu bapa perlu peka kerana aspek pencegahan paling berkesan datang daripada kesedaran dan kerjasama semua pihak.

Penjenayah sentiasa tajam mengintai peluang dan ruang untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka

Antara punca kes jenayah berlaku kerana kita sendiri yang memberikan 'peluang' atau membuka ruang serta sikap ambil mudah masyarakat terhadap keselamatan diri dan harta benda.