Edika Yusof sedia lafaz cerai 5 Mei

Iklan
Edika akur dengan permintaan isteri, Nor Hidayah untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

AKTOR popular 1990-an, Edika Yusof akur dan reda dengan permintaan isterinya, Nor Hidayah Yusri, 47, untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

Ujar bintang yang meledak menerusi filem Maria Mariana itu, sebagai suami, dia sudah cuba sehabis baik mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak 22 tahun lepas dan menganggap semua ini adalah takdir yang sudah tertulis.

Iklan
Iklan

"Kalau dia lebih bahagia, tidak mengapa saya lepaskan. Saya sudah sampai ke tahap reda, hari ini saya sudah bersedia melafazkan talak, tetapi dia tidak suci.

"Jadi kita tunggu sahaja 5 Mei kalau itu yang dia minta. Saya pun tidak mahu hidup dalam kasih sayang palsu jika perkahwinan itu diteruskan," katanya ketika ditemui sebaik prosiding kedua berakhir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pada Rabu.

Iklan

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi permohonan cerai difailkan Hidayah.

Lafaz cerai tidak dapat dilakukan disebabkan wanita itu dalam keadaan tidak suci.

Iklan

Edika tidak diwakili peguam, manakala isterinya diwakili peguam syarie, Mohd Yazid Hazim.

Ditanya mengenai dakwaan menghina seperti difailkan Hidayah, Edika berkata, timbul salah faham apabila tegurannya dianggap sebagai satu penghinaan.

"Saya menjaga keluarga, jadi tidak mungkin saya tidak boleh menegur bila ada kesalahan, isteri saya pula ingat saya menghina," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penerimaan anak-anak, Edika berkata, anak perempuannya, Fereena Nurulhaq, 20, dan anak tiri, Nazirul Afiq, 27, tidak bersetuju dengan perceraian tersebut.

Bagaimanapun anak sulungnya, Fardeen Nasrulhaq, 21, berpendapat sebaliknya.

"Anak perempuan dan anak tiri saya memang tidak bersetuju kami bercerai. Anak lelaki saya memang rapat dengan ibu dia. Jadi dia lebih dengan ibu.

"Kalau betul dia nak bercerai, saya akan jalankan tanggungjawab sebagai kawan, saya akan terus jaga dia bersama anak-anak selepas ini," ujarnya lagi.

10 dakwaan

Sementara itu, peguam syarie mewakili Nor Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates berkata, pihak mahkamah membenarkan Edika untuk melafazkan cerai pada tarikh berkenaan.

Mohd Yazid memaklumkan, terdapat 10 dakwaan disertakan Nor Hidayah atas sebab permohonan cerai dibuat, bagaimanapun tidak boleh mendedahkan kerana ia mengaibkan.

"Kita sudah bentangkan fakta-fakta kes untuk mahkamah teliti permohonan cerai sama ada wajar atau tidak Nor Hidayah mahu bercerai dengan suaminya.

"Selepas fakta ini dibentang dan dakwaan dijawab oleh Edika, mahkamah akan memanggil anak sulungnya untuk memberi keterangan terhadap setiap dakwaan Nor Hidayah terhadap Edika.

"Mahkamah menerima setiap keterangan dan alasan Nor Hidayah dan mahkamah menerima alasan paling kritikal dalam rumah tangga yang sudah berlalu selama lebih 20 tahun.

"Ada lebih kurang 10 dakwaan dan kalau saya bentangkan, ia akan mengaibkan. Semua dakwaan ini paling kritikal dan boleh mencemarkan maruah Nor Hidayah sebagai isteri," katanya.

Sekadar info, Nor Hidayah difahamkan telah memfailkan perceraian pada Februari lalu di mahkamah sama.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

Nor Hidayah turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.