Kelantan desak KDN wujudkan biometrik CCTV di sempadan

Iklan
Zamakhshari membuat penggulungan pada sesi Sidang DUN Kelantan pada Rabu. Gambar kecil: Zamakhshari

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan biometrik kamera litar tertutup (CCTV) di Sungai Golok bagi memudahkan pihak polis mengesan pengedaran dadah di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, penggunaan dron biometrik dan menyegerakan pemasangan alat pengesan atau pengimbas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) turut diperlukan dalam mengukuhkan lagi kawasan sempadan.

"Kami (kerajaan negeri) mempunyai beberapa cadangan kepada KDN bagi mengatasi isu dadah dan harap ia dapat disampaikan oleh wakil Galas (Mohd Syahbuddin Hashim), Kota Lama (Dr Hafidzah Mustakim) dan Nenggiri (Mohd Azmawi Fikri Ab Ghani) kepada pihak berkenaan.

"Hasil perbincangan dengan polis, AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) keperluan memperkasakan sempadan dengan mewujudkan biometrik CCTV di sempadan, menambah dron biometrik serta meletakkan pemasangan alat pengesan atau pengimbas di pintu masuk," katanya semasa sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, alat pengesan atau pengimbas amat diperlukan di pintu masuk utama selepas penggunaan pangkalan haram ditutup pada Disember lalu.

Ujarnya, hal ini kerana tiada kelengkapan mesin khas yang ditempatkan di pintu masuk utama.

Zamakhshari memberitahu, hasil kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Kelantan sebelum ini pihaknya juga minta mempercepatkan penempatan 'mobile scanner' di sempadan Sungai Golok.

"Seterusnya usaha menyeluruh dan bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk menyekat penjualan secara dalam talian. Banyak dadah baharu dijual dalam talian termasuk magic mushroom yang sangat digeruni dan banyak digunakan oleh pelajar sekolah.

"Satu tindakan serius perlu dilakukan untuk menangani isu ini.

"Selain itu sebagai Pengerusi Pemadan Kelantan, saya berharap kerajaan Pusat dapat menambahkan peruntukan bagi kegunaan kempen kesedaran dadah," katanya.