PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berada di sekitar Blok N, Pangsapuri Petaling Perdana, Jalan PJS 1/21, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Nur Dania Raudhah Abdul Hakim diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 8.24 malam, Selasa.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, mangsa merupakan remaja perempuan Melayu dengan ketinggian 169 sentimeter, berat 42 kilogram, berkulit cerah, berambut hitam serta berbadan kurus dan tinggi.
"Setakat ini, tiada sebarang tanda fizikal lain dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, usaha mengesan remaja terbabit sedang giat dijalankan dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
"Orang ramai boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
"Mereka juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nazrul Helmi Zulkafli di talian 017-604 2607,” katanya.