Harga emas naik, wanita terus jadi mangsa ragut?

Iklan
Peningkatan kes samun dan ragut yang berlaku secara ganas kebelakangan ini membangkitkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan awam.

PENINGKATAN kes samun dan ragut yang berlaku secara ganas kebelakangan ini membangkitkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan awam.

Tindakan penjenayah yang sanggup mencederakan mangsa dengan senjata tajam demi mendapatkan hasil rampasan menunjukkan tahap keberanian dan kezaliman yang semakin melampau.

Iklan
Iklan

Situasi ini menggambarkan jenayah jalanan bukan lagi sekadar insiden terpencil, sebaliknya satu ancaman serius yang memerlukan tindakan segera.

Pendedahan Sinar Harian pada Rabu menunjukkan trend peningkatan kes jenayah jalanan yang semakin agresif, khususnya melibatkan ragut dan samun bersenjata menyasarkan golongan wanita.

Iklan

Terbaharu, seorang guru wanita mendedahkan beliau menghadapi detik cemas menjadi mangsa samun tiga lelaki bersenjata parang di sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam, Selangor, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof berkata, tiga lelaki tempatan itu melarikan seutas rantai emas, dua utas gelang, sebentuk cincin dan sebuah telefon bimbit.

Iklan

Kes seumpama turut berlaku di Jenjarom, Kuala Langat, Selangor, apabila sekumpulan lelaki bersenjata meragut rantai emas seorang penjual bunga dan melarikan diri menaiki kereta Proton Saga.

Susulan itu, Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Juwairiya Zulkifli berpendapat, kenaikan harga emas yang mencecah sehingga RM533 segram mendorong penjenayah menumpukan perhatian kepada barangan kemas yang dipakai wanita sebagai jalan mudah untuk mendapat habuan besar.

Menurut beliau, kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan kekerapan kes samun rantai emas yang dipakai wanita kebelakangan ini, termasuk dalam premis seperti taska.

Keadaan ini menunjukkan bahawa wanita, termasuk guru, suri rumah dan ibu yang menghantar atau mengambil anak di taska, menjadi sasaran utama penjenayah kerana mereka sering memakai barang kemas serta berada dalam situasi tidak bersedia untuk mempertahankan diri.

Kehadiran mereka di lokasi awam tanpa pengawasan dan dalam keadaan leka turut memberi peluang mudah kepada penjenayah untuk bertindak.

Situasi ini jelas memperlihatkan bahawa penjenayah bukan sahaja nekad, malah tidak lagi gentar untuk menyerang mangsa di tempat terbuka dan pada waktu siang.

Sehubungan itu, masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga, antaranya dengan mengelakkan pemakaian barang kemas secara berlebihan ketika berada di tempat awam, terutamanya jika bersendirian.

Langkah seperti membawa alat keselamatan diri, mengamalkan sikap waspada dan tidak leka dengan telefon bimbit boleh membantu mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah.

Kerajaan pula disaran memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), khususnya di kawasan sekolah, taska, pasar awam dan taman permainan.

Dalam masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang perlu dipertingkat dengan hukuman lebih berat terhadap penjenayah yang menggunakan kekerasan dan senjata dalam aktiviti ragut.

Kesimpulannya, isu jenayah ragut dan samun agresif bukan sekadar masalah penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga memerlukan kerjasama menyeluruh antara masyarakat, pihak berkuasa dan kerajaan.

Langkah proaktif seperti pendidikan kesedaran, peningkatan kawalan keselamatan dan sikap berjaga-jaga dalam kalangan masyarakat mampu menjadi benteng awal dalam menangani jenayah jalanan yang semakin membimbangkan ini.