Netizen kecam video kiblat, Arif 'Mak Beti' terima teguran Ilahi

Iklan
Arif ketika berkongsi pengalamannya di Makkah. Foto Agensi

JAKARTA – Pempengaruh media sosial terkenal Indonesia, Arif Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mak Beti, mengalami detik mencemaskan apabila jatuh sakit ketika menunaikan ibadah umrah bersama isterinya, Dita Audina pada awal April lalu.

Menurut Arif, dia mula berasa tidak sihat ketika berada di Madinah apabila mengalami sakit tekak. Namun, disebabkan keinginan yang kuat untuk menikmati makanan, dia tidak menjaga pemakanan dan tetap mengambil makanan pedas serta berminyak, selain minum air berais dan merokok.

Iklan
Iklan

Keadaan kesihatannya bertambah buruk sebaik tiba di Makkah. Dalam satu hantaran video di media sosial pada 9 April 2025, Arif dilihat dalam keadaan lemah dengan alat infus tersambung, sambil mengadu mengalami sakit tekak yang teruk, demam panas, menggigil dan sesak nafas.

"Saya pertama kali rasa sakit begini. Kepala sangat pening, badan menggigil, nafas sesak, tekak sangat perit sampai nak bercakap pun tiada suara,” katanya.

Iklan

Arif turut berkongsi bahawa dalam keadaan tersebut, dia teringat kepada isteri dan anak-anaknya, malah sempat terlintas dalam fikirannya bahawa dia mungkin sedang melalui sakaratul maut.

"Saya sempat mengucap dua kalimah syahadah, walaupun hanya bibir yang bergerak. Hati dan fikiran saya tidak tenang, sangat gelisah,” ujarnya.

Iklan

Dalam perkongsian itu, Arif menganggap kesakitan yang dialaminya sebagai satu teguran daripada ALLAH atas kekhilafan atau mungkin sebagai penghapus dosa semasa menunaikan umrah di Tanah Suci.

"Alhamdulillah, mungkin ini teguran daripada ALLAH. Mungkin ada kesilapan kata atau perbuatan saya yang tidak baik semasa berada di Tanah Haram,” katanya lagi.

Sebelum jatuh sakit, Arif sempat memuat naik video ketika mencari arah kiblat di bilik hotelnya di Tanah Suci kerana tiada penanda arah kiblat disediakan.

Bagaimanapun, caranya yang dilihat agak memperolok-olok dan sinis dalam video tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ramai menyifatkan bahawa seseorang tidak boleh bertindak sesuka hati ketika berada di Makkah.

Arif Muhammad dikenali menerusi watak Mak Beti dalam siri Cerita Beti yang popular di pelbagai platform media sosial. Selain bergiat aktif sebagai pencipta kandungan, beliau juga merupakan seorang usahawan dan pelakon. – Agensi