SHAH ALAM - Jika orang lain mengabadikan kenangan bersama insan tersayang melalui gambar yang digantung di dinding rumah, lain pula cara yang dilakukan oleh seorang ibu tunggal di utara tanah air.
Barkis Azeme, 46, menzahirkan rindu yang tidak berpenghujung terhadap suaminya, Allahyarham Md Norhashim Md Nasir melalui lukisan potret di kereta miliknya.
Berkongsi kisah tersebut, ibu kepada empat cahaya mata dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu memberitahu bahawa dia tekad melakukan demikian kerana banyak kenangan bersama suami menggunakan kereta itu.
"Semasa arwah masih ada, dia memang menggantung gambar keluarga pada lanyard untuk merasakan kami ada bersamanya walaupun keluar rumah tanpa kami.
"Sibuk mana pun arwah suami bekerja, dia tetap luangkan masa membawa kami bercuti dan berjalan-jalan ke bandar.
"Jadi, saya pilih untuk melukis potret arwah di kereta kerana banyak memori indah kami bersama menggunakan kereta itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, sebuah video yang dimuat naik oleh pelukis 'airbrush', Mohd Rozamil Mohd Yatin yang melukis potret seorang lelaki pada sebuah kereta Honda HRV berwarna merah tular di TikTok dan mendapat perhatian warga maya.
Perkongsian tersebut meruntun hati pengguna aplikasi berkenaan, malah rata-rata memuji Mohd Rozamil kerana sudi menghasilkan lukisan tanpa mengambil sebarang bayaran.
Menerusi perkongsian berkenaan, Mohd Rozamil memaklumkan bahawa beliau pernah berhubung dengan Barkis selepas terbaca komen wanita itu yang mahu mengumpul duit untuk mengupahnya menghasilkan lukisan 'airbrush' berkenaan.
"Terdetik dalam hati, mungkin dengan lukisan gambar arwah dapat melepaskan hajat dan menggembirakan mereka sekeluarga.
"Mungkin perkara ini tidak besar bagi kita tetapi sangat besar maknanya bagi mereka yang rindunya tidak berpenghujung," kongsi Mohd Rozamil menerusi akaun TikTok @Zameerpentbrush.
Dalam pada itu, Barkis turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Rozamil kerana sudi merealisasikan impian mereka sekeluarga.
Menurutnya, lukisan tersebut menjadi pengubat rindu buat suaminya yang meninggal dunia tiga tahun lalu akibat barah pankreas.