SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pemandu Honda Jazz yang memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga remaja maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 1, 6 Mac lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Pemandu berumur 17 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit salah tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Bagi kesalahan kedua di bawah Seksyen 26(1) akta sama atas kesalahan memandu tanpa lesen, memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 namun peguam mewakili remaja itu merayu kadar tersebut dikurangkan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,300 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.
Sebutan semula kes ini ditetapkan pada 21 Mei depan.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta Honda Jazz terbabit yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian jam 8.30 malam.
Video kejadian tular di media sosial dan empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang parah dalam kejadian itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).