SEREMBAN - Dakwaan Depot Imigresen Lenggeng Negeri Sembilan sesak dengan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah tidak tepat kerana kapasitinya masih terkawal dan tidak melebihi had ditetapkan.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIM), Kennith Tan Ai Kiang berkata, pusat tersebut boleh memuatkan sehingga 1,000 tahanan dan ketika ini terdapat lebih 700 orang ditempatkan di sana.
"Tahanan di sini sentiasa keluar dan masuk kerana setiap minggu ada penghantaran PATI pulang ke negara asal.
"Keadaannya terkawal jadi apabila ada dakwaan mengatakan depot imigresen dalam keadaan sesak, perkara tersebut tidak betul," katanya ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya JIM Negeri Sembilan pada Selasa.
Ujar beliau, keadaan sesak itu hanya berlaku ketika penularan Covid-19 beberapa tahun lalu disebabkan pintu sempadan ditutup menyebabkan PATI yang ditahan tidak dapat dihantar pulang ke negara asal.
"Keadaan itu berlaku hampir di kesemua pusat tahanan lain namun kini keadaan telah kembali seperti biasa.
"PATI yang ditempatkan di sini bukan hanya warga asing yang ditangkap semasa operasi tetapi imigresen turut menerima banduan asing dari penjara yang telah habis menjalani hukuman," tambah beliau.
Katanya, setakat ini tiada penambahan pusat tahanan baharu namun depot sedia ada kini dalam proses naik taraf dan projek itu dilaksana sejak 2021 serta dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.
"Naik taraf ini membabitkan projek Persekutuan bagi kerja meroboh dan membina bangunan baharu menggantikan struktur lama yang telah berusia puluhan tahun.
"Projek membabitkan peruntukan RM5.5 juta ini meliputi pembinaan pejabat pengurusan dan kuarters selain blok PATI wanita yang dijangka mampu memuatkan tambahan 200 tahanan lagi," katanya.