Op Birth: Pembantu klinik, ejen direman

Iklan
Dua wanita yang direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa berhubung Op Birth.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pengesahan kelahiran bayi terus terbongkar dengan penahanan dua lagi wanita yang direman selama lima hari di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Dua suspek yang memakai baju lokap berwarna oren itu ialah seorang pembantu klinik swasta berusia 43 tahun sementara seorang lagi merupakan ejen, berusia 49 tahun.

Iklan
Iklan

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes membabitkan sindiket yang menguruskan proses pembelian bayi dan penyediaan sijil kelahiran bayi dengan bayaran kira-kira RM10,000.

Majistret, Mohamed Redza Azhar Rezali mengeluarkan perintah reman itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan

Kata sumber, kedua-dua suspek ditahan di pejabat SPRM Selangor antara jam 1.10 hingga 1.15 tengah hari pada Isnin, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 melalui akaun bank milik ejen, sekitar dua tahun lalu.

Iklan

"Ejen terbabit dikatakan mengurus dan menyedia dokumen pengesahan kelahiran dari hospital sekitar negeri ini.

"Seorang lagi suspek yang bertugas di sebuah hospital swasta di Melaka disyaki menyamar sebagai pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara, berperanan mendapatkan sijil kelahiran menggunakan butiran matan palsu bagi pengesahan kelahiran bayi-bayi yang diuruskan oleh ejen, sedangkan tiada rekod kelahiran bayi di hospital yang terlibat," katanya.

Beliau berkata, Op Child ini adalah rentetan daripada Op Birth yang melibatkan ejen dan sindiket.

Katanya, mereka dipercayai berpakat dalam urusan pemalsuan borang daftar kelahiran bayi.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@ Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek tersebut. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, beberapa siri tangkalan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut.

Pada 12 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, SPRM menahan 16 individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara serta pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM telah melancarkan ‘Op Outlander’ dan ‘Op Birth’ membabitkan serbuan ke atas beberapa premis, termasuk klinik serta firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.