KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa siasatan berkaitan pencerobohan tanah secara haram di Raub, Pahang telah dimulakan sejak tahun 2021.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tumpuan siasatan melibatkan dua aspek utama, iaitu unsur rasuah serta isu tadbir urus dalam kalangan agensi kerajaan negeri, khususnya di pejabat tanah.
"Saya ditanya sama ada SPRM pernah membuka kertas siasatan berkaitan isu di Raub, dan jawapannya, ya. Kita telah memulakan siasatan pada tahun 2021.
"Justeru, siasatan terhadap pencerobohan terbaharu ini merupakan kesinambungan daripada siasatan terdahulu. Saya telah mengarahkan SPRM Pahang supaya meneruskan siasatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre (WTC), di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, siasatan secara menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana kegiatan penerokaan tanah secara haram itu boleh berlarutan dalam tempoh yang begitu lama.
"Kita akan melihat dua perkara penting. Pertama, bagaimana kegiatan penerokaan haram ini boleh berlaku dan kedua, isu berkaitan tadbir urus di peringkat pejabat tanah dan galian.
"Siasatan ini turut melibatkan semakan terhadap sebarang kelulusan serta kegagalan dalam aspek pemantauan,” katanya.
Sebelum ini, tular insiden kekecohan semasa operasi penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April lalu yang melibatkan tanaman durian, kelapa sawit dan hasil bumi lain.
Susulan itu, Sultan Pahang menzahirkan ketegasan bahawa aktiviti pencerobohan tersebut merupakan satu bentuk ‘rompakan terbuka’ terhadap harta kerajaan dan perlu dihentikan serta-merta.
Baginda turut menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan baharu akan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terhadap mana-mana permohonan melibatkan tanah yang telah diceroboh secara haram.