Acha Septriasa: Dari layar ke jiwa

Iklan
Acha bersama rakan gandingan dalam Qodrat 2, Vino G Bastian.

ADA sesuatu tentang Acha Septriasa yang tidak pernah hilang walau masa terus berlalu; kelembutan wajahnya, tutur kata yang tenang dan sorotan matanya seperti menyimpan cerita belum habis ditulis.

Daripada seorang gadis manis yang menghiasi layar lewat kisah cinta remaja, kini pemilik nama sebenar Jelita Septriasa itu melangkah ke dimensi yang lebih dalam.

Iklan
Iklan

Bagi Acha, filem Qodrat arahan Charles Gozali bukan sekadar sebuah skrip untuk dibaca, bukan sekadar set untuk dilalui, tetapi sebuah ruang spiritual yang perlahan-lahan membalut jiwanya yang dahagakan pengertian.

Di balik tabir, naskhah itu menjadi cermin kepada perjuangan rohani yang lebih besar dalam dirinya sendiri.

Iklan

Barangkali, di situ letaknya titik temu antara seni dan keimanan — antara layar dan jiwanya sendiri.

"Saya masih ingat, setelah solat Asar saya berdoa bersungguh-sungguh. Saya doa, ‘berikanlah tawaran filem yang saya sukai, kalau boleh berikanlah pekerjaan yang mendekatkan saya dengan KAU Ya ALLAH’.

Iklan

"10 minit kemudian, Charles menghubungi saya. Dia beritahu mahu menawarkan sebuah filem dan minta saya segera datang ke Jakarta kerana pelakon lain sudah mula latihan.

"Charles beritahu, sebelum menghubungi saya, tiba-tiba nama saya terlintas di fikiran mereka, mengenai siapa pelakon yang akan membawakan watak Azizah ini.

"Saya sempat merasa kebingungan sebentar, ia sangat menakjubkan. Saya tidak dapat mengungkapkan bagaimana rasanya," cerita Acha.

Membawakan watak Azizah, seorang wanita yang berhadapan dengan kuasa ghaib dan pergolakan emosi, aktres yang mula melonjak menerusi filem Heart itu tidak sekadar berlakon, tetapi dia menyelami.

Katanya, penglibatan dalam filem berkenaan bukan sahaja mencabar dari segi lakonan, malah turut membawa perubahan positif mengenai pemahaman dan penghayatannya terutama berkaitan solat.

"Mungkin bacaan solat saya belum begitu sempurna dan belum terlalu faham akan maksudnya. Melalui filem ini, ia mengajar saya tentang cara solat dengan lebih baik.

"Sekarang saya lebih faham mengenai makna-makna bacaan dalam solat dan menerusi filem ini juga, babak solat taubat memainkan peranan penting serta kunci kepada penceritaan watak Azizah.

"Ternyata watak Azizah ini memberikan barakah yang panjang dalam hidup saya. Saya tidak perlu ‘buang’ watak ini selepas selesai penggambaran. Saya hanya perlu teruskan sahaja," jelas Acha lagi.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, beliau bersyukur kerana tidak berdepan dengan sebarang gangguan yang tidak diingini sepanjang penggambaran.

Malah lebih teruja apabila Charles memaklumkan akan meneruskan Qodrat 3 dengan penglibatan Acha.

Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw itu sudah menemui penonton di pawagam sejak 17 April dan masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.

Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.

Rumah ketiga

Dalam pada itu, tidak lengkap rasanya perbualan hari itu tanpa bertanya perkembangan dirinya sementelah Acha kini menetap di Sydney, Australia bersama suami dan anaknya.

Meskipun kini berumah tangga di Sydney, Acha tidak pernah melupakan kota-kota yang membentuk dirinya.

Jakarta tetap menjadi nadi seni, manakala Kuala Lumpur yang pernah didiami selama empat tahun - kekal dalam ingatan sebagai ‘rumah ketiga’.

"KL ini istimewa... saya tahu hampir semua lorong dan tempat menarik di sini. Ayah saya pernah bekerja di Petronas, saya belajar empat tahun di sini. Jadi KL sudah seperti rumah ketiga saya,” ujarnya.

Dalam keterujaan itu, Acha mendedahkan perkara yang paling dirindukan adalah bertemu rakan media yang disifatkan sentiasa menyokong kariernya dan melayani dengan baik.

"Bagi saya rakan media di sini menghargai karya. Contohnya walaupun saya sudah tidak aktif lagi menyanyi, tetapi mereka masih ingat dan menggalakkan saya mencuba kembali untuk menyanyi.

"Sokongan seperti itu secara tidak langsung membuatkan jadi lebih bersemangat untuk berkarya," kongsi Acha.