PUTRAJAYA - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan sumbangan sebanyak RM470,000 bagi membantu golongan yang memerlukan menerusi program Aidilfitri Madani 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan yang memanfaatkan kumpulan sasar di Selangor dan Kuala Lumpur itu merupakan sumbangan berupa Sinar Kasih.
"Ia termasuk bantuan Aidilfitri kepada 100 keluarga miskin bernilai RM200 setiap satu dengan jumlah keseluruhan RM20,000 manakala RM10,000 kepada dua institusi iaitu Masjid Al-Hasanah dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP).
"Selain itu, sebanyak RM20,000 diperuntukkan masing-masing dalam majlis jamuan keraian Aidilfitri dan kemasyarakatan serta sumbangan YaPEIM Didik kepada 200 penerima yang bernilai RM100 setiap seorang.
"Sumbangan pembangunan ekonomi latihan dan tunjuk ajar turut diberikan kepada usahawan bernilai RM10,000, selain serahan rumah kepada tiga peserta dan bantuan baik pulih rumah kepada lima peserta yang terlibat bagi Program Sinar Lestari YaPEIM berjumlah RM390,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Aidilfitri Madani 2025 dan pelancaran ibu pejabat baharu YaPEIM di Menara Ochre @ Alamanda di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim dan Ketua Pengarah YaPEIM, Zabidi Nasan.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, majlis sambutan Aidilfitri itu dianjurkan bertujuan menyantuni dan menyasarkan penerima manfaat program Pembangunan Keusahawanan, Kemasyarakatan dan Pendidikan YaPEIM, di samping mempromosi dan memperkenalkan yayasan berkenaan.
Menurut beliau, lokasi pertama penganjuran majlis itu diadakan di Putatan, Sabah dengan serahan sumbangan berjumlah RM46,500.
"Sebelum ini YaPEIM telah memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta bagi program Ramadan Madani YaPEIM di lebih 25 lokasi seluruh negara yang memanfaatkan 7,700 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari keluarga miskin serta B40.
"Secara keseluruhan sejak 1985 hingga Disember 2024, YaPEIM mengagihkan sebanyak RM725 juta kepada 14 juta penerima manfaat membabitkan tiga teras iaitu pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan kemasyarakatan.
"YaPEIM juga mempunyai operasi pembiayaan mikro melalui Ar-Rahnu YaPEIM yang mempunyai 204 cawangan seluruh negara yang memberi peluang kepada peniaga atau usahawan kecil untuk mendapatkan pembiayaan jangka pendek bagi menyelesaikan isu berkaitan modal kerja mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai ibu pejabat baharu YaPEIM, Mohd Na’im berkata, proses penukaran nama di Menara Ochre sedang giat dilakukan iaitu kepada Menara YaPEIM atau Wisma YaPEIM dalam masa terdekat.