ALOR SETAR - Kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) menunjukkan indikator positif setakat Mac tahun ini dan diyakini mencapai sasaran kunjungan tujuh juta pelancong.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, setakat ini tiada data khusus berkaitan kemasukan pelancong bagi tahun ini berikutan data rasmi hanya diperoleh empat bulan selepas suku pertama setiap tahun.
Menurutnya, namun indikator awal menunjukkan perkembangan positif apabila kadar penginapan dari Januari hingga Mac tahun ini mencapai 58 peratus daripada keseluruhan 8,700 bilik hotel berdaftar di negeri ini.
"Kerajaan negeri sasarkan kemasukan tujuh juta pelancong sepanjang tahun ini sempena TMK 2025, peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding 5.2 juta pelancong yang direkodkan tahun lalu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) mengenai jumlah kedatangan pelancong dan usaha kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, pada Isnin.
Mohd Salleh berkata, sasaran TMK 2025 itu membabitkan pelancong tempatan dan antarabangsa berdasarkan jumlah penginapan di hotel-hotel berdaftar di seluruh negeri.
"Promosi TMK 2025 sedang giat dijalankan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kedah Tourism Sdn Bhd serta beberapa agensi lain bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.
"Kempen ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan jumlah pelancong, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat di seluruh pelosok negeri,” katanya.
Menurutnya lagi, TMK 2025 berpaksikan kepada lima komponen utama, iaitu sumber alam semula jadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah, sebagai asas memperkenalkan keunikan Kedah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
"Sebagai inisiatif memperluas capaian maklumat, Kedah Tourism turut melancarkan Kalendar Acara TMK 2025 secara digital yang boleh diakses oleh semua pihak pada bila-bila masa," jelas beliau.
Mohd Salleh berkata, sebanyak 170 program pelancongan dirancang sepanjang TMK 2025, termasuk 45 acara yang dikategorikan sebagai acara utama yang dijangka menarik penyertaan ramai.
"Kesemua program turut diadun bersama elemen sukan dan pengisian rohani bagi menambah daya tarikan serta memberi pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung,” ujarnya.
Menurut Mohd Salleh, kolaborasi bersama pelbagai agensi kerajaan dan swasta juga memainkan peranan penting dalam menjayakan program pelancongan negeri.
"Sebagai contoh, program Iftar Ramadan Experience Kedah diadakan setiap Jumaat sepanjang Ramadan lalu di Dataran Medan Bandar, depan Masjid Zahir mendapat sambutan menggalakkan termasuk dari pelancong luar negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
"Lebih banyak program bakal dilaksanakan selepas ini bagi memperhebat kempen TMK 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan Kedah sebagai destinasi utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.