Peniaga rugi hampir RM200,000 terpedaya tawaran kerja sambilan dalam talian

Iklan
Mangsa berusia 30 tahun itu mendakwa terpengaruh dengan sebuah laman web yang diperkenalkan oleh individu dikenali menerusi aplikasi TikTok pada Februari lalu.

TEMERLOH - Seorang peniaga kerugian RM183,326 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa yang berusia 30 tahun telah membuat laporan selepas mendakwa terpengaruh dengan sebuah laman web yang diperkenalkan oleh individu dikenali menerusi aplikasi TikTok pada Februari lalu.

Iklan
Iklan

"Mangsa pada mulanya tertarik dengan pulangan awal yang diterima selepas membuat pemindahan wang sebanyak RM500 dan telah menerima keuntungan sebanyak RM1,200.

"Suspek telah mengarahkan pengadu membeli setiap tempahan pelanggan dari laman web tersebut. Apabila mangsa gagal, suspek telah bantu membeli dan minta mangsa membuat pembayaran semula," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ujarnya, selepas gagal mangsa kemudiannya diugut akan didenda dan diambil tindakan undang-undang jika arahan tidak dipatuhi.

"Hal tersebut telah menyebabkan mangsa membuat 24 transaksi wang ke 10 akaun bank yang berbeza.

Iklan

"Sumber kerugian mangsa adalah wang simpanan mangsa dan pinjaman daripada ahli keluarganya," tambah beliau.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dahulu bagi setiap tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengelak manjadi mangsa penipuan," ujarnya lagi.