TAPAH – Hasrat segelintir penduduk Taman Sri Muda untuk menyerahkan memorandum berkaitan isu banjir kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak kesampaian apabila dokumen itu hanya diserahkan kepada pegawainya.
Penyerahan dibuat oleh jurucakap penduduk, Umagandhan Krishnan kepada Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Mohammad Firdaus Shir Mohd, di tepi jalan masuk ke Kampung Coldstream, Bidor, yang turut disaksikan beberapa penduduk dari Shah Alam yang hadir menaiki bas, pada Ahad.
Iklan
Iklan
Dalam sidang medianya, Umagandhan berkata, memorandum tersebut diserahkan bagi menuntut penyelesaian segera terhadap isu banjir yang berlarutan di kawasan mereka.
"Sebagai penduduk Taman Sri Muda, kami sering menjadi mangsa banjir. Kami tidak mempunyai masa atau tenaga untuk terus menunggu penyelesaian.
"Kami mahukan penyelesaian muktamad dan kekal bagi menghentikan isu banjir di kawasan Taman Sri Muda, Batu Kemuning dan Batu Lapan," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat koordinasi khas pada Isnin bagi menangani isu banjir kilat yang semakin membimbangkan di beberapa kawasan, termasuk Taman Melawis (Klang) dan Taman Sri Muda (Shah Alam).
Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Saifuddin Shafi, serta disertai agensi berkaitan seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).