Kita ketandusan profesor sastera
TANPA pensyarah sastera di institusi pengajian tinggi khususnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tentu sekali subjek sastera tidak dapat diperkenalkan kepada mahasiswa. Tanpa pensyarah sastera khususnya sastera Melayu yang bertungkus-lumus memperkenalkan teks sastera Melayu kepada mahasiswa di kampus, pasti genre sastera tidak berkembang di universiti tanah air.
Tanpa pensyarah sastera khasnya sastera Melayu yang gigih memperjuangkan bahasa dan sastera di peringkat Nusantara dan dunia, pasti khalayak tidak akan mengenali barisan sasterawan negara seperti A Samad Said, Keris Mas, Shahnon Ahmad, Siti Zainon Ismail dan lain-lain. Maka, jelaslah bahawa peri pentingnya kedudukan sarjana sastera dalam landskap pendidikan tanah air lantaran subjek sastera diajar di peringkat sekolah menengah lagi.