Penoreh getah hilang tiga hari ditemui lemas di Jeram Besu

Iklan
Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10 pagi iaitu empat kilometer dari PTPK dibuka. Foto Ihsan PDRM

RAUB - Seorang penoreh getah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu selepas disyaki dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di pusat rekreasi Jeram Besu, di sini, ditemukan lemas pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mayat mangsa, Mat Salleh Junoh, 63, ditemui kira-kira jam 10 pagi di tepi Sungai Kampung Batu Cincin, Benta, selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lokasi penemuan mayat itu terletak kira-kira empat kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

"Pada jam 10.30 pagi, mayat berjaya dibawa keluar dari lokasi oleh pihak polis dan seterusnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, SAR ditamatkan pada jam 12.45 tengah hari selepas penemuan mayat tersebut.

Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang dari rumah selepas anak bongsunya yang berusia 18 tahun menyedari ketiadaan warga emas itu di kediaman mereka di Perumahan Tat Sega, kira-kira jam 7.20 pagi pada Selasa.

Iklan

Mangsa dipercayai telah keluar menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza, yang turut didapati tiada di rumah ketika itu. Mangsa juga tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Setelah ayahnya tidak pulang seharian, pengadu keluar mencarinya dan menjumpai MPV milik bapanya berada di tempat letak kenderaan pusat rekreasi tersebut. Namun, mangsa tidak berada di dalam kenderaan itu,” jelas beliau.

Anak mangsa kemudian cuba mencari di kawasan sekitar pusat rekreasi tetapi gagal menemui sebarang petunjuk sebelum membuat laporan polis pada jam 11 malam Rabu.

Siasatan lanjut mendapati terdapat saksi yang melihat mangsa sedang menjala ikan di sungai tersebut sebelum kejadian.