Pemandu rentung kereta terbabas langgar pembahagi jalan

Iklan
Keadaan kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar.

PENDANG - Seorang pemandu kereta ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 65.3 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara, di sini pada Jumaat malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Happyzam Abd Rasid berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.36 malam memaklumkan tentang kemalangan terbabit.

Iklan
Iklan

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak dan BBP Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Muslim Al Mubarak bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 11.58 malam.

"Setibanya di lokasi didapati berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi di sebelah kiri jalan sebelum terbalik dan terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang mangsa dalam kereta terbabit dan tindakan operasi kerja-kerja pemadaman dilakukan sehingga api berjaya dikawal pada jam 12.40 tengah malam.

"Mangsa yang berada dalam kereta berkenaan ditemukan rentung namun jantina serta identitinya belum dikenal pasti," ujarnya.

Iklan

Mohd Happyzam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Seramai 15 orang anggota yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun serta Tanah Merah terbabit dalam operasi ini,” jelasnya.