KHARTOUM - Perang saudara yang berlarutan selama lebih dua tahun di Sudan telah menyebabkan kira-kira 13 juta penduduk hilang tempat tinggal.
Angka itu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada awal minggu lalu setelah konflik bersenjata antara tentera diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Tindakan Pantas (RSF) pimpinan Mohamed Hamdan Dagalo masih berterusan hingga kini.
"Seramai 8.6 juta terpaksa menjadi pelarian di dalam negara sendiri,” ujar jurucakap agensi itu, Abdourahouf Gnon-Konde.
Peperangan yang tercetus pada 15 April 2023 itu turut meragut puluhan ribu nyawa dan mencetuskan krisis kebuluran serta memecah-belahkan negara Afrika Utara tersebut.
Situasi semakin meruncing apabila RSF melancarkan operasi ketenteraan baharu untuk merampas bandar utama terakhir, El-Fasher yang masih berada di bawah kawalan pasukan tentera pada awal bulan lalu.
Keganasan terbaharu selama tiga hari berturut-turut itu telah mengakibatkan lebih 400 terkorban berikutan serangan tersebut juga menyasarkan kem pelarian Zamzam dan Abou Shouk.
Kemaraan RSF ke Zamzam menyebabkan kira-kira 400,000 pelarian sekali lagi hilang tempat berlindung.
Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengesahkan seramai 10,000 melarikan diri ke Tawila, terletak kira-kira 70 kilometer di barat El-Fasher dalam tempoh 48 jam setelah kawasan itu menjadi medan tempur.
"Orang awam terutamanya wanita dan kanak-kanak yang tiba di lokasi berkenaan berada dalam keadaan sangat lemah dan mengalami dehidrasi teruk,” menurut jurucakap agensi bantuan perubatan antarabangsa.
Peperangan tiada kesudahan itu telah membahagikan Khartoum kepada dua bahagian di mana tentera mengawal kawasan utara dan timur manakala RSF menguasai sebahagian besar Darfur dengan sekutunya menguasai selatan.
Hujan bom di Sudan Selatan
Di Sudan Selatan, pertempuran juga dilaporkan semakin sengit dengan hampir 200 terbunuh manakala kira-kira 125,000 hilang tempat tinggal sejak bulan lalu.
Ketegangan turut memuncak di Juba dan keadaan di negara Afrika Timur itu sentiasa bergolak selepas ia berpisah dengan Khartoum pada 9 Julai 2011.
Konflik terbaharu tecetus selepas pasukan tentera yang bersekutu dengan Presiden Salva Kiir dan seterunya, Naib Presiden, Riek Machar bertempur di timur laut negeri Upper Nile, sekali gus mengancam perjanjian perkongsian kuasa yang rapuh bertujuan untuk menamatkan perang saudara pada 2018.
"Kempen pengeboman kian ganas hingga meragut empat nyawa staf agensi bantuan kemanusiaan dan memaksa penutupan enam kemudahan kesihatan,” ujar PBB dalam satu kenyataan.
Langkah itu dikhuatiri memburukkan lagi kesengsaraan penduduk yang kini bergelut dengan wabak kolera berikutan ia telah mengakibatkan 919 kematian dan menjangkiti 49,000 orang.
Situasi di Sudan Selatan kembali meruncing setelah sekutu Kiir menuduh pasukan Machar mencetuskan kekacauan di daerah Nasir bersama kumpulan bersenjata Tentera Putih Nuer pada awal tahun lalu. - Agensi/AFP